PETALING JAYA: Syarat pencalonan bagi perebutan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu dilonggarkan bagi memastikan proses demokrasi berjalan lebih adil dan telus.
Peguam Sukan dan Komersial, Nik Erman Nik Rosel berkata, artikel 31 Statut FAM menetapkan calon Presiden perlu mendapat sekurang-kurangnya enam pencalonan, satu syarat yang dilihat terlalu tinggi.
“Bagi saya, bilangan ini adalah tinggi. Proses demokrasi harus membenarkan mana-mana calon bertanding walaupun dengan hanya satu pencalonan.
“Jika calon itu tidak mendapat sokongan semasa undian, mereka tetap tidak akan dilantik. Tetapi jangan halang mereka pada peringkat pencalonan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut merujuk artikel 19 Statut FIFA yang membenarkan ahli membuat perlantikan secara bebas daripada pengaruh pihak ketiga, asalkan ia melalui proses demokrasi.
“FIFA tidak menghalang FAM menentukan proses pelantikan sendiri, selagi ia bebas daripada pengaruh luar dan melalui undian demokratik.
“Setiap ahli yang layak hanya boleh mengundi satu undi tetapi boleh menghantar dua delegasi. Saya mencadangkan bilangan undian ditambah supaya lebih seimbang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa walaupun proses pencalonan dipermudahkan, tanggungjawab ahli tetap penting.
“Kata akhir tetap di tangan ahli-ahli gabungan. Mereka perlu amanah dan bertanggungjawab semasa membuat keputusan.
“Mana-mana Presiden atau ahli exco yang diundi adalah hasil pilihan ahli. Dengan menurunkan bilangan pencalonan dan mempermudah proses, ahli diberi lebih banyak pilihan untuk memilih Presiden dan exco yang lebih baik,” katanya.
Cadangan ini dijangka membuka perbincangan hangat dalam kalangan ahli FAM dan menjadi antara isu utama menjelang kongres badan induk bola sepak negara itu.
FAM kini tanpa peneraju selepas Datuk Mohd Joehari Ayub melepaskan jawatan presiden pada Ogos tahun lalu, sebelum barisan ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) secara kolektif meletak jawatan pada Januari lalu.
Mohd Joehari melepaskan jawatan atas faktor peribadi, manakala barisan Exco meletak jawatan bagi menyelamatkan bola sepak negara daripada digantung Persekutuan Bolasepak Antarabngsa (FIFA).-UTUSAN










