Sudah dapat duit bayaran lebihan cukai?

Sudah dapat duit bayaran lebihan cukai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjelang penghujung Ramadan, bukan sahaja bazar dan pusat beli-belah dipenuhi orang ramai, malah ruang media sosial juga semakin meriah dengan satu topik yang sama iaitu menunggu duit lebihan cukai masuk ke dalam akaun.

Bagi ramai pembayar cukai, lebihan bayaran cukai yang dipulangkan semula ibarat ‘rezeki tambahan’ menjelang hari raya. Tidak hairanlah apabila ramai yang berkongsi gelagat lucu sambil menanti notifikasi kemasukan wang tersebut, lebih-lebih lagi apabila Syawal dijangka disambut minggu hadapan.

Ada yang berseloroh mengatakan mereka kerap membuka aplikasi perbankan dalam talian setiap beberapa jam, semata-mata mahu melihat sama ada wang lebihan cukai sudah dikreditkan ke dalam akaun.

Malah, ada juga yang mengaku sudah merancang lebih awal bagaimana wang itu akan dibelanjakan.

Bagi sesetengah individu, wang tersebut mahu digunakan untuk membeli pakaian raya baharu, manakala ada juga yang merancang membeli kuih raya, langsir atau menambah sedikit peruntukan untuk duit raya anak-anak dan anak saudara.

“Kod sudah bertukar kepada 021, maksudnya bayaran balik sudah diluluskan, tidak sabar tunggu duit masuk,” itu antara hantaran yang dibuat netizen dalam platform media sosial.

Ada juga yang mencongak-congak, jika isi borang e-filing lambat, adakah duit lebihan cukai mungkin diperoleh menjelang raya haji pula? Semuanya resah menunggu.

Dalam kalangan keluarga pula, lebihan cukai itu sering dianggap sebagai penyelamat bajet menjelang hari raya. Dengan pelbagai keperluan yang perlu disediakan seperti juadah raya, hiasan rumah dan persiapan pulang ke kampung, wang tambahan itu sememangnya amat membantu.

Ada juga yang berkongsi secara bersahaja mereka sudah ‘menempah’ terlebih dahulu beberapa barangan raya dengan harapan wang tersebut akan masuk sebelum Aidilfitri.

Antaranya termasuk set pinggan mangkuk baharu, permaidani ruang tamu dan lampu hiasan bagi menceriakan rumah menjelang ketibaan tetamu.

Gelagat menunggu ini turut mencetuskan pelbagai meme dan gurauan dalam media sosial. Antaranya termasuk jenaka mengenai bunyi notifikasi telefon yang disangka kemasukan wang, tetapi rupa-rupanya hanya mesej promosi atau peringatan aplikasi lain.

Walaupun sekadar gurauan, situasi ini menggambarkan betapa wang lebihan cukai menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan setiap tahun oleh sebahagian pembayar cukai. Lebih-lebih lagi apabila ia tiba pada waktu yang cukup sesuai, iaitu ketika persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri rancak dilakukan.

Apa pun, bagi mereka yang masih menunggu, kesabaran menjadi kunci utama. Siapa tahu, mungkin notifikasi yang dinanti-nantikan itu akan muncul pada bila-bila masa sahaja, tepat pada waktunya untuk menambah seri persiapan menyambut Syawal.

Adlinahani Khalil adalah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×