JDT bebas hukuman AFC

JDT bebas hukuman AFC

TUNKU Mahkota Ismail memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain JDT dalam bilik persalinan.-IHSAN HRH Crown Prince of Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan dikenakan pemotongan mata dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) walaupun menurunkan tiga pemain yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam perlawanan sebelum ini.

Keputusan itu berlaku selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memberikan penangguhan pelaksanaan (Stay of Execution) kepada tujuh pemain warisan Malaysia, termasuk tiga daripada JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, pada 27 Januari lalu.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, mengesahkan bahawa tiada sebarang hukuman atau pemotongan mata dikenakan terhadap JDT walaupun CAS telah mengumumkan hukuman FIFA dikekalkan.

Menurut beliau, JDT bertindak menurunkan pemain-pemain berkenaan selepas mendapat kebenaran rasmi daripada CAS, yang membenarkan mereka beraksi dalam tempoh penangguhan hukuman.

“JDT menggunakan pemain-pemain itu selepas mendapat kebenaran daripada CAS yang memberi ‘Stay of Execution’ kepada hukuman FIFA melibatkan tujuh pemain warisan Malaysia selama sebulan lebih.

“Jadi tiada masalah atau kesalahan untuk JDT menurunkan pemain tersebut dalam perlawanan ACLE atau sebagainya sepanjang tempoh penangguhan CAS,” jelas Windsor Paul ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kali terakhir ketiga-tiga pemain itu diturunkan adalah pada 4 Mac lalu ketika berdepan Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pertama pusingan 16, yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Perlawanan itu menyaksikan JDT mempamerkan prestasi cemerlang dan menewaskan pasukan Jepun itu dengan keputusan 3-1, sekali gus memberi momentum positif dalam saingan kelab elit Asia.

Keputusan CAS dan penjelasan AFC ini pastinya memberikan kelegaan kepada JDT dan peminat bola sepak Malaysia, kerana kelab itu kini boleh terus bersaing tanpa menghadapi risiko pemotongan mata dalam perlawanan akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN