PETALING JAYA: Pengurusan Harimau Malaya sedang meneliti saluran perundangan yang sewajarnya susulan hukuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap skuad kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend berkata, pihaknya menghormati proses peraturan pertandingan, namun keutamaan adalah menyokong pemain dan kakitangan.
Biarpun berdepan pemotongan mata, Friend berkata, tumpuan untuk berdepan Vietnam dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 mac ini tetap menjadi keutamaan pasukan.
“Kami mengambil maklum keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung pemotongan mata tersebut.
“Kami menghormati proses peraturan pertandingan. Pada masa yang sama, perkara ini sedang diteliti melalui saluran perundangan yang sewajarnya.
“Sepanjang tempoh ini, keutamaan kami kekal jelas untuk menyokong para pemain dan kakitangan, serta memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik bagi mewakili Malaysia dengan profesionalisme, perpaduan dan kebanggaan.
“Tumpuan kami kini sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi perlawanan akan datang menentang Vietnam, di mana pasukan akan beraksi dengan keyakinan, ketahanan dan disiplin yang sama seperti yang telah ditunjukkan sepanjang tahun 2025.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap pasukan,” kata Friend dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC membatalkan keputusan dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 membabitkan Malaysia berdepan Nepal dan Vietnam susulan daripada isu pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya.
Tindakan itu diambil selepas mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak selain Harimau Malaya turut diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan itu.
Selepas ditolak enam mata, Malaysia yang kini tinggal sembilan mata jatuh ke kedudukan kedua Kumpulan F dan lebih perit apabila slot ke pusingan akhir sah menjadi milik Vietnam dengan skuad Naga Emas mengumpul 15 mata dan muncul juara kumpulan.-UTUSAN










