FIFA mahu hukum pemain ‘sorok mulut’

FIFA mahu hukum pemain ‘sorok mulut’

GIANNI INFANTINO - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mencadangkan agar pemain yang menutup mulut ketika bercakap dengan lawan boleh diperintah keluar padang sekiranya didapati mempunyai unsur perkauman.

Cadangan itu susulan dakwaan terhadap pemain Benfica, Gianluca Prestianni yang dituduh mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap penyerang Real Madrid, Vinicius Junior dalam aksi Liga Juara-Juara bulan lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Prestianni didakwa menutup mulutnya dengan jersi ketika bercakap dengan Vinicius sekali gus mencetuskan siasatan pihak berkuasa bola sepak Eropah.

Isu tersebut dibangkitkan pada mesyuarat Sabtu lalu oleh Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Ifab).

“Jika seorang pemain menutup mulutnya dan berkata sesuatu dan ia membawa implikasi perkauman maka dia perlu dibuang padang, sudah tentu.

“Perlu ada anggapan bahawa dia telah mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya, jika tidak dia tidak perlu menutup mulutnya.

“Saya benar-benar tidak faham, jika anda tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, anda tidak akan menutup mulut apabila berkata sesuatu. Itu sahaja, semudah itu.

“Dan ini adalah tindakan yang boleh kita ambil dan mesti kita ambil untuk menunjukkan kesungguhan dalam memerangi perkauman,” kata Infantino.

Kongres FIFA seterusnya akan diadakan di Vancouver, bulan depan di mana badan induk bola sepak dunia itu mungkin memutuskan untuk melaksanakan langkah bagi menghalang pemain daripada menutup mulut mereka pada Piala Dunia tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Infantino turut mencadangkan hukuman berbeza boleh dikenakan terhadap pesalah perkauman bergantung kepada sama ada mereka membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Selain menghukum, kita juga perlu mengubah budaya. Seseorang mungkin melakukan kesilapan dalam keadaan marah dan kemudian memohon maaf. Dalam situasi itu, bentuk hukuman mungkin perlu dinilai secara berbeza,” katanya.

Prestianni digantung sementara bagi aksi timbal balik Liga Juara-Juara sementara menunggu keputusan siasatan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan berdepan kemungkinan penggantungan sehingga 10 perlawanan jika didapati bersalah. Pemain berkenaan bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN