KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat Amanah yang lebih menyeluruh bersama dasar dan polisi baharu dijangka dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat tahun ini bagi menggantikan Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) yang bakal dimansuhkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, RUU itu merangkumi empat kluster utama termasuk parameter aktiviti, rejim pendaftaran mandatori, rangka kerja pelaporan pemunyaan benefisial serta aspek pentadbiran dan tadbir urus syarikat amanah.
Selain itu, katanya, ia turut melibatkan mekanisme pemotongan nama, penyelamatan korporat, penggulungan dan pembubaran syarikat amanah.
“Proses konsultasi awam untuk memuktamadkan RUU ini dimulakan pada 2 April 2024 melalui edaran dokumen konsultasi. Sesi libat urus turut diadakan bersama pihak industri dan pemegang taruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai reformasi kawal selia syarikat amanah swasta dan pindaan Akta 100 bagi mewajibkan pelantikan Pengurus Dana Berlesen.
Fuziah berkata, sesi libat urus juga melibatkan agensi kawal selia termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia (bnm) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.-UTUSAN











