MANSFIELD: Pemain Arsenal, Eberechi Eze muncul wira apabila meledak gol kemenangan ketika menumpaskan pasukan divisyen tiga, Mansfield Town 2-1 dalam aksi pusingan kelima di Field Mill, semalam.
Jaringan Eze pada minit ke-66 memastikan Arsenal menarik nafas lega sekaligus mara ke suku akhir Piala FA, sekali gus meneruskan pemburuan empat trofi skuad kendalian Mikel Arteta pada musim ini.
Eze mengakui mengakui lega dapat menyumbang gol kemenangan dalam perlawanan yang disifatkannya sebagai sukar berdepan pasukan divisyen tiga yang bermain penuh semangat di hadapan penyokong sendiri.
“Gembira dapat menjaringkan gol. Saya mempunyai ruang dan peluang untuk melakukan rembatan, jadi saya terus mengambilnya,” kata Eze.
Menurutnya, Arsenal sedar cabaran yang menanti apabila beraksi di gelanggang lawan yang penuh tekanan.
“Ia persekitaran yang sukar untuk bermain. Namun kami melakukan apa yang perlu dan mara ke pusingan seterusnya, itu yang paling penting,” katanya.
Terdahulu, Noni Madueke meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-41 sebelum tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Will Evans pada awal babak kedua.
Bagaimanapun, jaringan Eze dari luar kotak penalti memastikan skuad kendalian Mikel Arteta terus menghidupkan impian memburu empat kejuaraan musim ini.-AGENSI










