PETALING JAYA: Kejayaan meraih dua pingat emas di Kejohanan Taekwondo Terbuka Bulgaria 2026 pada 1 Mac lalu menyuntik keyakinan buat atlet poomsae negara, Nur Humaira Abdul Karim untuk memburu kejayaan lebih besar musim ini.
Atlet berusia 22 tahun itu membantu Malaysia menjuarai acara poomsae berpasukan sebelum menambah satu lagi emas dalam acara berpasangan bersama Jason Loo, sekali gus memberi isyarat awal kesediaannya menghadapi cabaran lebih besar.
Humaira kini mengalihkan tumpuan kepada dua kejohanan utama musim ini iaitu Kejohanan Taekwondo Asia dan Kejohanan Poomsae Dunia yang dianggap medan terbaik untuk melonjakkan pencapaiannya.
Menurutnya, pengalaman yang dikumpul di pentas antarabangsa sebelum ini memberi keyakinan bahawa dia mampu tampil lebih matang dan mencabar kedudukan lebih tinggi.
“Memang saya sasarkan kejohanan besar seperti Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia kerana sepanjang beraksi di Kejohanan Dunia saya sudah ada dua pingat gangsa.
“Jadi tahun ini kalau boleh saya mahu naik podium atau capai kedudukan yang lebih tinggi,” kata Humaira kepada Utusan Malaysia.
Humaira yang merupakan adik kepada bekas jaguh poomsae negara, Nur Hidayah sebelum ini sudah podium Kejohanan Dunia apabila meraih pingat gangsa di Hong Kong tahun lalu.
Beliau juga optimis mampu mengekalkan momentum dalam acara berpasangan meskipun skuad wanita dijangka mengalami sedikit perubahan musim ini.
“Rasanya ada pertukaran sikit sebab ada beberapa atlet junior sedang berlatih untuk Sukan Asia. Pertukaran itu membantu untuk junior fokus pada temasya berkenaan,” katanya.-UTUSAN










