Cools tuntut rakan sepasukan pamer aksi terbaik

Cools tuntut rakan sepasukan pamer aksi terbaik

PEMAIN Harimau Malaya menjalani latihan menjelang aksi menentang Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini.- IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapten Harimau Malaya, Dion Cools mahu rakan sepasukan memperagakan aksi terbaik dalam aksi menentang Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini.

Menurut Cools, meskipun perlawanan itu disifatkan sebagai pelengkap jadual, namun kemenangan ke atas skuad Naga Emas menjadi medan untuk memulihkan maruah dan membuktikan kemampuan sebenar skuad negara di pentas antarabangsa.

Tegasnya, setiap pemain perlu tampil dengan mentaliti yang kuat serta disiplin tinggi bagi memastikan pasukan mampu bersaing dengan lawan yang terkenal dengan corak permainan pantas dan tersusun.

Cools turut menyatakan dia bersedia memainkan peranan utama di atas padang dengan memanfaatkan pengalaman beraksi di Jepun, selain mengekalkan konsistensi permainan bagi membantu pasukan.

“Seperti apa yang jurulatih katakan, beberapa minggu dilakukan untuk persediaan, ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi kita akan beri aksi terbaik dan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan positif.

“Saya harap semua pemain dapat berikan yang terbaik. Setiap perlawanan kami menghormati setiap pasukan dan kami tahu apa yang akan dilakukan.

“Pengalaman dan prestasi saya di Jepun akan saya manfaatkan untuk pasukan negara. Saya akan berusaha keras untuk memastikan skuad negara dapat meraih keputusan positif,” katanya.

Cools mengakui semangat berpasukan yang dipamerkan ketika ini berada pada tahap terbaik dan mampu menjadi kekuatan utama Harimau Malaya.

Katanya, sokongan antara pemain serta kepercayaan terhadap kemampuan sendiri akan menjadi faktor penting dalam menghadapi tekanan di gelanggang lawan.

“Semua pemain berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk memberi aksi terbaik pada perlawanan esok (hari ini),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN