MITI jawab kekeliruan BYD pertimbang tubuh kilang di Tanjung Malim

MITI jawab kekeliruan BYD pertimbang tubuh kilang di Tanjung Malim

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan isu pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD yang didakwa menilai kembali rancangan membuka kilang pemasangan kenderaan secara CKD di Tanjong Malim, Perak.

Menterinya, Datuk Seri Johari Ghani berkata, BYD memperoleh lesen pembuatan sementara pada September 2025 untuk loji pemasangan dan ia berasaskan pengeluaran berorientasikan eksport.

Katanya, syarat tersebut dirangka bagi memastikan penyelarasan di antara Dasar Automotif Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, sekali gus menggalakkan aktiviti bernilai tinggi serta mengelakkan gangguan pasaran.

“Syarat ini bukan khusus kepada BYD, sebaliknya mencerminkan pendekatan konsisten yang dikenakan ke atas semua pelaburan automotif baharu di Malaysia bermula September 2025, kecuali yang menggunakan kemudahan pemasangan tempatan sedia ada,” katanya.

Katanya lagi, dakwaan bahawa hanya 20 peratus kereta BYD yang dipasang tempatan boleh dijual di sini dan perlu berharga melebihi RM200,000 adalah tidak tepat.

“Ia bukan sekatan, sebaliknya rangka kerja pengeluaran yang dipersetujui bersama. Semua syarat yang dikenakan adalah tidak diskriminasi dan terpakai sama rata kepada semua projek pemasangan automotif berskala besar tanpa mengira jenama dan negara asal.

“Ia bertujuan memastikan kapasiti pemasangan tempatan bergerak ke arah segmen pasaran bernilai tinggi yang mampan serta mengelakkan gangguan terhadap ekosistem vendor sedia ada. BYD tidak dipilih secara khusus, syarat yang sama terpakai kepada mana-mana kemasukan baharu CKD,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, harga minimum EV import yang dikaji semula, Johari berkata, dasar permit diluluskan (AP) francais semasa menetapkan bahawa kenderaan import CBU mesti dijual pada harga minimum atas jalan RM250,000.

Namun, katanya, kerajaan menurunkan harga minimum itu kepada RM100,000 dari 2022 hingga 31 Disember tahun lalu bagi menggalakkan penggunaan EV, sambil memberi ruang kepada pengeluar tempatan membangunkan keupayaan dan rantaian bekalan EV mereka sendiri.

“Pembuatan dan pemasangan tempatan, bukan import CBU berterusan, adalah strategi jangka panjang kerajaan untuk menjadikan EV lebih mudah diakses dan mampu milik kepada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, MITI kini sedang mengkaji dasar harga minimum itu bagi memperkukuh lagi aktiviti pemasangan tempatan sambil memastikan harga kenderaan CBU ditentukan oleh kuasa pasaran.” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut menafikan dakwaan MITI melarang import model trak pikap berjenama baharu seperti BYD Shark atau GWM Cannon.

Katanya, semua kenderaan komersial termasuk trak pikap tertakluk kepada keperluan penggunaan sumber tempatan CKD.

“Import CBU dibenarkan dengan kuota terhad di bawah kuota AP pra-pemasangan untuk tujuan kajian pasaran. Tiada sebarang pengumuman daripada MITI yang melarang import jenama trak pikap baharu ke Malaysia.”

Johari turut menegaskan MITI tidak akan menggadaikan masa depan industri automotif, sebaliknya bertujuan membina ekosistem yang mampan dan berdaya saing.

Katanya, dasar MITI bukan bersifat perlindungan kepada segelintir pemain tempatan, tetapi berteraskan pembangunan menyeluruh industri dalam jangka panjang.

Katanya, hala tuju itu dipacu oleh visi Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan aktiviti nilai tambah tinggi seperti pembuatan maju, kejuruteraan dan pemindahan teknologi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN