PETALING JAYA: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Risto Vidakovic kecewa selepas kerja keras anak buahnya musim ini seolah-olah tidak dihargai oleh barisan pengurusan.
Vidakovic mendakwa, skuad kendaliannya tidak menerima sokongan sewajarnya, termasuk soal ganjaran kepada barisan pemain yang berhempas-pulas di atas padang.
“Kami berdepan tekanan besar tetapi tiada bonus. Kami perlu berdepan dengan banyak perkara jadi ini adalah pasukan yang sukar.
“Kami tidak mendapat sokongan daripada sesiapa dan sukar untuk melakukan persiapan kerana kami bergelut seperti tidak dapat membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan Januari lalu.
“Kami tidak mendapat sebarang bonus pada musim ini. Kadang-kadang ada budaya pasukan yang tidak memberikan bonus tetapi anda mendapat sesuatu yang berbeza.
“Kadang-kadang sokongan kepada pasukan dengan datang ke bilik persalinan dan berkata ‘kami sentiasa di belakang memberi sokongan’. Tetapi ini sangat pelik. Apa yang saya rasa kurang adalah sedikit sokongan daripada pihak luar,” kata Vidakovic.
Kelmarin, skuad Ibu Kota mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia dan mereka juga kekal dalam perebutan tempat kedua Liga Super
KL City mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menundukkan Terengganu FC 2-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Terikat 1-1 secara agregat, pelawat terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Akhyar Rashid sebelum kebangkitan dramatik tuan rumah disempurnakan oleh Victor Ruiz dan Paulo Josue untuk memastikan agregat 3-2 memihak KL City.
Walaupun dihimpit pelbagai kekangan, Vidakovic tetap menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen anak buahnya yang terus menunjukkan profesionalisme tinggi.
Sementara itu, pemangku ketua jurulatih TFC, Tengku Hazman Raja Hassan mengakui jurang pengalaman antara pemain Terengganu dengan KL City antara faktor langkah pasukannya terhenti di suku akhir.
“Mungkin selepas pertukaran dilakukan, pemain belum lagi dapat menyesuaikan diri dan kita membuat kesilapan daripada situ. Jadi apabila perkara itu berlaku, kita nampak barisan pertahanan kita agak kelam kabut dan ini lebih kepada pengalaman.
“Kalau hendak dibandingkan dengan pengalaman pemain KL City FC, kita boleh nampak bahawa pemain kita tidak boleh untuk mengendalikan beberapa situasi dan kita tidak dapat menandingi dari segi pengalaman,” jelasnya.-UTUSAN










