PETALING JAYA: Kerajaan perlu melantik bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas siasatan membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi membolehkan badan ditubuhkan bebas dari pengaruh kuasa mana-mana pihak.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Teresa Kok berkata, penglibatan Tengku Maimun mampu meningkatkan kredibiliti, keyakinan awam dan legitimasi proses siasatan berhubung dakwaan-dakwaan dikaitkan terhadap Azam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, keyakinan awam terhadap mana-mana siasatan berkaitan dakwaan salah laku serius bergantung bukan sahaja kepada kebebasan sebenar tetapi juga kepada persepsi kebebasan tersebut.
“Sesebuah jawatankuasa tidak dapat memperoleh legitimasi jika anggotanya dilihat mempunyai kaitan institusi dengan sistem yang sedang disiasat. Penyertaan Peguam Negara sebagai ketua atau anggota jawatankuasa semasa menimbulkan kebimbangan yang mendalam kerana mewujudkan masalah persepsi yang ketara termasuk kredibiliti jawatankuasa terbabit.
“Jawatankuasa khas yang ditubuhkan perlu mencerminkan kebebasan institusi yang sebenar dan bukannya mengulangi model yang pernah gagal seperti pasukan petugas pelbagai agensi yang dibentuk pada 2015 bagi menyiasat skandal 1Malaysian Development Berhad (IMDB) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Pengajaran daripada pasukan petugas 1MDB adalah jelas iaitu badan penyiasat yang ditugaskan untuk meneliti perkara berkepentingan nasional mesti terdiri daripada individu yang bebas dan dilihat bebas.
“Sehubungan itu, saya mengulangi gesaan agar Tengku Maimun dilantik untuk mempengerusikan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan serius ini. Ini kerana beliau diakui oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai mempunyai kelayakan yang cemerlang, integriti yang tidak diragui, serta rekod kebebasan yang terbukti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, dalam keadaan ini, anggota utama mana-mana jawatankuasa yang menyiasat dakwaan tersebut mestilah individu yang tidak mempunyai kepentingan institusi secara langsung terhadap hasil siasatan.
“Jika kerajaan benar-benar menghargai integriti serta komitmen awamnya untuk memerangi rasuah tanpa takut atau pilih kasih, maka ia mesti membuktikan tekad tersebut melalui tindakan yang konkrit,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menegaskan, ahli jawatankuasa khas yang ditubuhkan sepatutnya dalam kalangan mereka yang daripada badan bebas.
“Ada lebih baik KP SPRM dicutikan sementara siasatan dilakukan. Apabila ini dilakukan, ia akan menjadi satu prosedur operasi standard (SOP) yang baik. Yang penting ialah ahli jawatankuasa adalah bebas, tidak semestinya bekas ketua hakim cuma individu yang rekod mereka memperangsangkan akan melaku siasatan yang telus dan adil,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Muhammad Faisal Abdul Aziz menyatakan kesediaan untuk menyertai satu lagi himpunan secara besar-besaran bersama bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi menggesa kerajaan tidak menggantung atau merehatkan Azam daripada tugas rasmi beliau.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan himpunan Bersih 6.0 sekiranya tindakan sepatutnya gagal diambil kerajaan.
“ Bersih bersedia dan tidak menolak kemungkinan akan anjurkan himpunan Bersih 6 jika tindakan sepatutnya tidak diambil. Tuntutan kita jelas. Siasat secara telus Azam, beliau harus berehat atau digantung tugas dan kerajaan harus lakukan Reformasi SPRM segera,” katanya.
Media semalam melaporkan beberapa termasuk Bersih dan lapan Ahli Parlimen PKR menggesa Azam direhatkan atau digantung susulan pendedahan media antarabangsa, Bloomberg terhadapnya.
Azam dilaporkan berkata, gesaan agar bercuti adalah tidak perlu kerana beliau akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Itu terpulang (gesaan supaya bercuti dan berehat). Saya tidak perlu bercuti. Kalau hendak bercuti saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ini di mahkamah masih lagi bertugas?
“Ada orang jadi (bekas) Menteri Kewangan pun masih lagi dan dituduh menjadi Menteri Kewangan apa masalahnya? Saya ada criminal (kes jenayah) ke, saya tidak perlu bercuti,” katanya. – UTUSAN









