Selangor tidak rela cicir mata

Selangor tidak rela cicir mata

FAISAL Halim (kanan) menjadi harapan Selangor FC untuk merobek gawang Melaka FC, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) sedia menjadikan Melaka FC sebagai mangsa seterusnya bagi memastikan rekod tanpa kalah Gergasi Merah terus dilebarkan.

Anak buah Kim Pan Gon yang memiliki rekod tanpa kalah sepanjang 10 perlawanan bakal berkunjung ke Stadium Hang Jebat berdepan Melaka FC, malam ini, tidak berhasrat menoktahkan rekod cemerlang mereka.

Pan Gon menegaskan bahawa sasaran pasukannya adalah untuk terus merebut slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan dan perkara itu hanya boleh direalisasikan dengan prestasi konsisten dalam liga.

Jelasnya, beliau tidak risau jika pihak lawan merantai beberapa tonggaknya kerana pelbagai strategi telah direncanakan bagi memastikan tiga mata menjadi milik Selangor.

“Jika lawan memberi tumpuan kepada beberapa pemain, kita boleh beralih strategi berbeza. Saya bangga dengan usaha keras dan kerjasama mereka dalam perlawanan penting, terutamanya pada bulan Ramadan.

“Di luar padang, kami mahu membina budaya yang kukuh di gelanggang sendiri sebagai kubu untuk penyokong Gergasi Merah. Walaupun masih jauh untuk mencapainya, hasrat kami adalah menjadikan setiap kunjungan ke stadium satu pengalaman membanggakan dan menyeronokkan,” kata Pan Gon.

Selangor kini mengumpul 35 mata dan dicabar sengit oleh Kuala Lumpur City (33 mata) dan Kuching City (31 mata) dalam perebutan tempat kedua dengan gelaran juara dilihat akan kekal menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Justeru anak buah Pan Gon perlu kekal waspada supaya tidak tercicir mata penting terutama apabila berdepan pasukan di ranking bawah seperti Melaka untuk mengekalkan kedudukan mereka di tangga kedua.

Ketika Pan Gon memberi fokus untuk melebarkan rekod tanpa kalah, Juan Torres Garrido pula akan mengharungi ujian sulung selaku pengendali baharu Sabah apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Likas.

Garrido yang juga bekas pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun Harimau Malaya tampak perlu melakukan banyak kerja rumah dalam usaha untuk memulihkan prestasi skuad Badak.

Sementara itu, satu lagi aksi liga yang akan berlangsung malam ini melibatkan Penang FC yang akan melayan kunjungan pendahulu, JDT di Stadium Bandaraya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN