Selangor buru bekalan selesa di Paroi

Selangor buru bekalan selesa di Paroi

FAISAL Halim (kanan) menjadi harapan Selangor FC untuk merobek gawang negeri Sembilan FC, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memburu bekalan selesa menjadi sasaran utama Selangor FC ketika berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Rekod tujuh perlawanan tanpa tewas jelas mencerminkan keserasian skuad Gergasi Merah dengan corak permainan yang diterapkan oleh Kim Pan Gon yang juga bekas pengendali Harimau Malaya sejak mengambil alih pasukan.

Pan Gon meletakkan sasaran jelas kepada anak buahnya iaitu membawa pulang bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 14 Februari depan.

“Ada banyak perkara yang kita perlu lakukan, jadi kita kena kekal sederhana. Kita belum sampai ke tahap yang kita mahukan.

“Jadi, kita kena kerja keras dan kekal sederhana bila bermain. Negeri Sembilan bukan lawan yang mudah, kita hanya menang 1-0 pada aksi Liga Super sebelum ini (14 Januari lalu).

“Saya ke sana untuk menang dan membawa bekalan selesa bagi aksi kedua nanti,” kata pengendali dari Korea Selatan itu.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan dijangka memberi tentangan sengit selepas memperkuatkan pasukan dengan kehadiran lima pemain import baharu pada jendela perpindahan kedua.

Skuad Jang yang tewas kepada Kuching City dalam saingan Liga Super sebelum ini pastinya bertekad menebus kekecewaan tersebut, sekali gus berpotensi menyukarkan misi Selangor untuk membawa pulang kelebihan awal.

Aksi di Paroi dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan sedar kepentingan keputusan pada perlawanan pertama dalam menentukan laluan ke separuh akhir.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN