Rosenior berang aksi hambar Chelsea

Rosenior berang aksi hambar Chelsea

AKSI letila Chelsea berdepan Leeds United dalam aksi EPL, semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Prestasi hambar Chelsea membangkitkan kemarahan pengurusnya, Liam Rosenior selepas The Blues gagal mempertahankan kelebihan dua gol sebelum terikat 2-2 dengan Leeds United, semalam.

Dalam aksi itu, anak buah Rosenior berada di landasan tepat untuk mencatat kemenangan kelima berturut-turut di Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil jaringan pembukaan Joao Pedro dan sepakan penalti Cole Palmer.

Bagaimanapun, Chelsea kecewa pada penghujung perlawanan di Stamford Bridge apabila penalti Lukas Nmecha menghidupkan kembali harapan Leeds sebelum Noah Okafor menyamakan kedudukan.

Kegagalan itu menafikan peluang Chelsea yang berada di tangga kelima untuk memintas Manchester United di kedudukan keempat, sekali gus membuatkan Rosenior berang dengan benteng pertahannya.

“Ada dua detik penting dalam perlawanan yang kami gagal uruskan dengan baik. Kami tidak kekal tenang, cara permainan berkembang ke situ, kami membuat beberapa keputusan lemah ketika menekan dan akhirnya menghadiahkan penalti.

“Saya tidak nampak Leeds mempunyai percubaan atau detik berbahaya sebelum itu. Permainan kami ketika menguasai bola, tekanan dan tenaga pemain semuanya seperti yang saya mahukan.

“Itu menjadikan keputusan ini lebih sukar diterima kerana kami gagal memenangi perlawanan biarpun mendahului lawan dengan dua jaringan di laman sendiri,” katanya selepas perlawanan.

Rosenior mencatat permulaan yang memberangsangkan sejak tiba dari Strasbourg bagi menggantikan Enzo Maresca yang dipecat pada Januari lalu.

Namun, tersingkir di separuh akhir Piala Liga kepada Arsenal serta keputusan seri ini memberi isyarat masih banyak yang perlu diperbaiki oleh bekas pengurus Hull City itu.

“Kami perlu pastikan setiap detik diuruskan dengan baik dan bersikap profesional. Ia bukan soal reaksi terhadap kesukaran. Dalam setiap perlawanan, akan ada tempoh kami tidak menguasai permainan.

“Yang menyedihkan buat kami, mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit sedangkan sepanjang 90 minit lain kami jauh lebih baik,” kata Rosenior.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN