PUTRAJAYA: Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka yang juga bekas Timbalan Exco Kerajaan Negeri bersama isterinya tiba di Mahkamah Majistret untuk permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.
Ia sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Kesemua suspek tiba kira-kira pukul 9.10 pagi ini dengan menaiki kenderaan SPRM selepas mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas memberi keterangan kepada pegawai penyiasat.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari hingga November 2021.
“Pasangan suami isteri ini disyaki menggunakan wang rasuah tersebut untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.-UTUSAN










