PETALING JAYA: Bekas atlet kebangsaan, M Ramachandran mengakui pelik apabila rekod miliknya yang dicipta lebih tiga dekad lalu masih kekal utuh tanpa dicabar meskipun atlet muda kini menikmati pelbagai kemudahan dan fasiliti sukan lebih canggih dan moden.
Menurut Ramachandran, ketika dia mencipta rekod kebangsan pada 32 tahun lalu, kemudahan latihan, peralatan serta sokongan sains sukan masih berada pada tahap sederhana berbanding apa yang dinikmati generasi atlet masa kini.
“Dah lebih 30 tahun tiada orang pecahkan, saya pun pelik juga sedangkan saya pecahkan rekod saya sendiri (rekod kebangsaan) lima kali. Tapi sekarang, latihan, kemudahan semuanya canggih tetapi kenapa atlet kita kena bersusah payah nak pecahkan rekod.
“Bukan acara saya saja tapi banyak lagi acara macam R. Batumalai, rekod dia lagi lama dalam acara 800 meter (m) (1985). Jadi, di mana kesilapannya? Sama ada kesilapan atlet itu sendiri atau persatuan, itu kita tak tahulah,” katanya.
Ramachandran merupakan pemegang rekod acara 5,000 dan 10,000 meter (m) yang dilakukannya masing-masing pada 5 Ogos 1994 di Jerman dan 27 Ogos 1994 di Sukan Komanwel 1994 Kanada.
Masih terdapat banyak rekod kebangsaan yang sudah terlalu lama masih bertahan antaranya pencapaian S. Nainasagoram dalam acara 3,000m lari berhalangan pada 1998, Yazid Imran (rejam lembing) pada 1995, 4x400m lelaki pada 1991, G. Shanti (200m) pada 1998 dan Josephine Mary (800m) pada 1986.
Ramachandran turut berkata, berdasarkan situasi semasa bukan sesuatu yang mustahil untuk memecahkan rekod kebangsaan malah dia turut berharap akan ada atlet negara mampu memadamkan rekodnya.
“Rekod kebangsaan sekarang memang boleh dipecahkan, malah rekod dunia pun sudah diperbaharui. Mestilah (mahu rekodnya dipecahkan), barulah ada kemajuan untuk sukan olahraga negara,” katanya yang merupakan pemenang empat pingat emas Sukan SEA.-UTUSAN










