PARIS: Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) bangkit daripada ketinggalan ketika seri 2-2 menentang AS Monaco pada aksi timbal balik playoff Liga Juara-Juara semalam, sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir menerusi agregat 5-4.
Kelab gergasi Perancis itu, sebelum ini bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang 3-2 di laman lawan minggu lalu, dalam perlawanan yang menyaksikan Monaco kehilangan seorang pemain seawal babak kedua.
Pertahanan PSG, Desire Doue mengakui aksi di pusingan kalah mati bukan perlawanan yang mudah dan pihak lawan sentiasa memberi kejutan.
Jelasnya, pada penghujung perlawanan PSG berdepan detik cemas selepas Monaco cuba menunjukkan kebangkitan apabila menjaringkan gol penyamaan namun ketenangan para pemain mampu mengawal keadaan itu.
“Sudah tentu di penghujung perlawanan apabila mereka menjaringkan gol dan mempunyai satu lagi peluang terakhir, ia agak mendebarkan dan kami sedikit cemas.
“Tetapi secara keseluruhan sekali lagi kami memberi reaksi baik selepas ketinggalan dan bermain secara berpasukan dengan baik untuk meneruskan pemburuan kejuaraan,” kata Doue.
Pada aksi itu, pemain Perancis, Maghnes Akliouche, meletakkan Monaco di depan pada babak pertama sekali gus menyamakan kedudukan agregat 3-3.
Bagaimanapun, pelawat kehilangan Mamadou Coulibaly yang dilayangkan kad merah pada minit ke-58 dan situasi itu menjadi titik kebangkitan buat PSG.
Marquinhos menyamakan kedudukan 1-1 sebelum Khvicha Kvaratskhelia seolah-olah mengesahkan kemenangan secara agregat buat PSG 5-3.
Jordan Teze bagaimanapun menjadikan kedudukan 2-2 pada masa kecederaan dan Monaco berpeluang menggandakan jaringan namun dilepaskan oleh Wout Faes ketika PSG dipaksa bertahan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Ketika impian PSG untuk mempertahankan kejuaraan masih bernyala, Monaco pula tersingkir di peringkat playoff buat musim kedua berturut-turut.
“Saya bangga dengan cara kami bermain dalam kedua-dua perlawanan dan secara keseluruhan dalam kempen Eropah ini,” kata jurulatih Monaco, Sebastien Pocognoli.-AGENSI










