KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) memasang hasrat untuk kembali menjadi ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presidennya, Zamri Ibrahim berkata, PFA akan mengemukakan permohonan kepada FAM apabila jawatankuasa baharu badan induk itu dibentuk.
Zamri Ibrahim yang mengekalkan jawatan Presiden PFA berkata, pihaknya tidak bercadang mengemukakan keahlian baharu sebaliknya memohon agar tindakan pecat ditarik semula.
“Langkah tersebut akan dimulakan apabila jawatankuasa baharu FAM dibentuk menggantikan jawatankuasa lama pada Kongres FAM yang bakal diadakan kelak.
“Ada wakil ahli gabungan kita membangkitkan isu pemecatan PFA sebagai ahli gabungan dalam FAM. Saya serta jawatankuasa yang baharu dilantik sedang berusaha untuk memohon kepada FAM membatalkan keputusan pemecatan keahlian tersebut,” katanya..
Dalam Kongres Tahunan PFA ke-29, 30 dan 31 yang berlangsung kelmarin, Zamri berjaya mempertahankan jawatan bagi penggal 2026-2030 apabila menang tanpa bertanding.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah yang sebelum ini menyatakan kesediaan menerajui PFA tidak menghantar borang pencalonan untuk jawatan Presiden PFA atas alasan teknikal.
Penggal kali ini turut menyaksikan bekas Ahli Parlimen Kangar merangkap Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad menyandang jawatan Timbalan Presiden PFA.
Sementara itu, Zamri berkata, gabungan muka lama dan baharu terutama dalam kalangan profesional yang terpilih dalam jawatankuasa PFA memperlihatkan kematangan ahli gabungan memilih wakil diyakini mampu mencorakkan bola sepak negeri itu agar terus disegani.
“PFA akan memperkasakan semula pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi terutama melalui kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) menerusi penganjuran Liga Super Perlis dan sebagainya.
“Kita juga berharap kerajaan negeri serta Menteri Besar baharu dapat memberikan sokongan terhadap usaha kita ini,” katanya.-UTUSAN










