PETALING JAYA: Kegagalan atlet olahraga negara memecahkan sebahagian besar rekod kebangsaan mencerminkan kemerosotan prestasi atlet di pentas tempatan dan antarabangsa.
Sehingga kini masih terdapat beberapa acara utama yang masih kekal dengan rekod lama, malah ada yang bertahan lebih sedekad tanpa sebarang pencapaian baharu yang mampu mengatasinya.
Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat sukan yang melihat situasi tersebut sebagai petanda ‘kurang sihat’ terhadap pembangunan olahraga negara.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kegagalan memperbaharui rekod bukan sekadar soal angka, sebaliknya menggambarkan kelembapan dalam melahirkan pelapis berkualiti.
Katanya, rekod kebangsaan sepatutnya diperbaharui bersilih ganti oleh atlet olahraga negara bagaimanapun situasi tersebut tidak berlaku.
“Setiap atlet olahraga di Malaysia perlu set pemikiran untuk memperbaharui rekod kebangsaan sebab dengan cara itu kita dapat mengukur sejauh mana kemampuan atlet negara.
“Rekod kebangsaan yang ada sekarang sudah jauh ketinggalan namun amat sukar untuk kita lihat atlet kita memperbaharuinya. Penting untuk mereka pecahkan rekod kebangsaan agar ada peluang untuk atlet membawa pulang pingat dari kejohanan di peringkat Asia atau ASEAN,” katanya.-UTUSAN










