PUTRAJAYA: Kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan secara terbuka dengan pelbagai pihak dalam ekosistem universiti bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau tidak mempunyai masalah terhadap tuntutan pelajar kerana ruang kebebasan telah pun diperluaskan menerusi beberapa pindaan akta sebelum ini.
Katanya, AUKU 1971 akan diteliti agar ia selari dengan perkembangan semasa dan tuntutan mahasiswa institusi pengajian tinggi.
“Saya tidak ada masalah dari segi tuntutan pelajar kerana kita memberi kebebasan kepada pelajar dan apa yang kita lihat kebebasan pelajar itu sebenarnya adalah merupakan manifestasi daripada AUKU yang telah pun kita pindah berkali-kali, dengan yang terbaru pada Jun 2024.
“Pindaan-pindaan yang dibuat pula kita kena lihat sepanjang masa, ia mesti bersifat dinamik, ia tidak boleh kekal sebagai sesuatu yang statik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Akademia Penyelidikan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Bersama Industri 2026 di sini semalam.
Terdahulu, program tersebut menyaksikan pertukaran 27 dokumen Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian antara MTUN dengan pihak industri serta penyerahan cek sumbangan endowmen daripada industri kepada MTUN.
Zambry berkata, kerajaan juga sentiasa mengadakan perbincangan secara terbuka dengan pelbagai pihak dalam ekosistem universiti termasuk mahasiswa sendiri.
“Apapun kerajaan sentiasa mengadakan perbincangan bukan hanya dalam kumpulan itu tetapi juga dengan kumpulan mahasiswa lain kerana kita ingin mendengar pandangan, termasuk juga daripada kalangan pesara-pesara dalam ekosistem universiti yang paling besar,” katanya.
Zambry berkata, pihaknya tidak bersikap negatif terhadap sebarang pandangan, sebaliknya mengutamakan pendekatan dialog beradab.
Sebelum ini, sekumpulan pelajar menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli bagi menggesa pemansuhan AUKU termasuk peruntukan kuasa kepada menteri untuk melantik Naib Canselor.-UTUSAN











