PETALING JAYA: Selangor FC mempamerkan taring sebenar apabila melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, kelmarin.
Kejayaan itu melengkapkan agregat 6-1 buat Gergasi Merah selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada minggu lalu.
Prestasi meyakinkan tersebut mengukuhkan lagi keyakinan bahawa Selangor kini berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran Piala Malaysia ke-34 dalam sejarah kelab.
Di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, Selangor jelas menampilkan peningkatan ketara dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Corak permainan tersusun, agresif dan berintensiti tinggi yang dipamerkan pada perlawanan tersebut, disifatkan antara aksi terbaik mereka musim ini.
Pan Gon bagaimanapun masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi semasa yang dipamerkan anak buahnya dan menjelaskan belum mencapai tahap dimahukannya.
Jelasnya, Selangor ketika ini dalam proses membina budaya dan ‘DNA” memburu jaringan awal dalam setiap perlawanan bagi mengekalkan dominasi sepanjang perlawanan.
“Saya gembira dengan keputusan dan apa yang pemain Selangor pamerkan, ia sangat indah. Permulaan bagus selepas mencipta peluang untuk jaringkan gol. Saya gembira stadium penuh dan dapat memberi mereka (penyokong) satu persembahan yang terbaik.
“Ini adalah laman kami sendiri, kami cuba untuk membina karakter dalam pasukan. Pemain bersemangat untuk menepati sasaran yang ditetapkan. Saya yakin penyokong Selangor gembira malam ini (kelmarin).
“Kami cuba membina budaya dan DNA menjaringkan gol awal, kami mahu mendominasi perlawanan. Jika tidak jaringkan gol awal mungkin akan sukar.
“Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, saya masih belum berpuas hati kerana tahap kami masih belum berada di kedudukan terbaik. Kami perlu terus bekerja keras. Keputusan malam ini sepatutnya 8-1,” katanya selepas perlawanan.
Pada aksi tersebut, Faisal Halim, Alvin Fortes, Nooa Laine, Quentin Cheng dan Chrigor Moraes masing-masing menyumbang satu gol buat Selangor, manakala jaringan tunggal pelawat disempurnakan Jovan Motika.
Selangor bakal berdepan cabaran getir di separuh akhir apabila dijadual menentang Kuching City FC yang sebelum ini menyingkirkan DPMM FC dengan agregat 6-2.
Dengan momentum semasa dan sokongan padu penyokong, Gergasi Merah kini hanya selangkah lagi untuk mengintai pentas final, namun seperti ditegaskan Pan Gon, perjuangan sebenar masih belum selesai.-UTUSAN










