KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan membida hak penganjuran kejohanan utama selagi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak mengkaji semula model perniagaan yang membebankan tuan rumah.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, model semasa perlu distruktur semula supaya lebih adil dan seimbang sebelum badan induk itu mempertimbangkan untuk membida kejohanan berprestij seperti Piala Thomas/Uber atau Piala Sudirman.
Menurut Kenny, meskipun penstrukturan semula format dan penambahan penyertaan kepada 24 pasukan merupakan langkah progresif, persoalan sebenar adalah mengapa negara-negara anggota semakin berhati-hati untuk membida.
“Melakukan perubahan terhadap format kejohanan merupakan sesuatu yang bagus tetapi BWF perlu memberikan perhatian kepada dua perkara, iaitu mengapa negara-negara tidak membida untuk menjadi tuan rumah.
“Kedua adalah bagaimana untuk mengekalkan minat kepada kejohanan-kejohanan besar ini. Saya tidak pasti sama ada menambah tempoh kejohanan dapat membantu ataupun tidak,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara kelmarin.
Menurut beliau, isu utama bukan sekadar format pertandingan, sebaliknya melibatkan kos penganjuran yang semakin meningkat selain cabaran memastikan kehadiran penonton terutama pada hari-hari awal kejohanan.
“Untuk kita membida kejohanan besar, perlu ada model perniagaan yang adil dan seimbang antara tuan rumah dan BWF. Kita bukan organisasi berorientasikan keuntungan, penganjuran tidak seharusnya membebankan kewangan persatuan,” ujarnya.
Terdahulu, BWF mengumumkan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber serta Piala Sudirman diperluaskan kepada 24 pasukan berbanding 16 sebelum ini sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula kalendar dan format kejohanan.
Untuk rekod, Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah kejohanan berpasukan utama BWF adalah pada Piala Sudirman 2013, yang berlangsung di Kuala Lumpur.-UTUSAN










