Malaysia perkenal virtual taekwondo pada Sukan SEA 2027

Malaysia perkenal virtual taekwondo pada Sukan SEA 2027

R. Dhanaraj
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taekwondo Malaysia (TM) bakal mencipta sejarah apabila memperkenalkan disiplin baharu, virtual taekwondo (VTKD) pada temasya Sukan SEA 2027 ketika negara menganjurkan temasya dwitahunan itu.

Pengarah Teknikal TM, R. Dhanaraj berkata, selain kyorugi dan poomsae, VTKD bakal diperkenalkan pada temasya dwitahunan itu selepas melihat kejayaan atlet negara merangkul emas dalam Kejohanan Taekwondo Antarabangsa HOPE edisi pertama di Kemboja, Januari lalu.

“Sebab itu kami agak yakin jika kami menganjurkan VTKD dengan tiga acara (termasuk kyorugi dan poomsae) kita ada peluang untuk memenangi pingat.

“Kita harap daripada tiga acara itu, sekurang-kurangnya boleh dapat satu atau dua pingat (emas),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Dhanaraj berkata, VTKD mendapat reaksi positif daripada beberapa negara jiran termasuk Singapura yang menunjukkan minat terhadap disiplin baharu itu yang menyerupai permainan video.

“Apabila kita mengangkat kaki, paparan tersebut akan mengangkat kaki. Apabila menumbuk, figura di dalamnya akan menumbuk. Ia seperti bermain permainan video tetapi anda menggunakan fizikal anda sendiri untuk bermain permainan tersebut.

“Kami telah bercakap dengan negara lain seperti Singapura dan mereka sangat berminat serta meminta kami untuk mempromosikan idea ini. Jika kami melaksanakannya, saya rasa kami akan mendapat sokongan daripada negara-negara Asia yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Dhanaraj memberitahu skuad kyorugi negara termasuk jaguh taekwondo kebangsaan, Syafiq Zuber akan menjalani latihan intensif selama sebulan di Thailand bermula Sabtu ini dalam usahanya memburu tiket ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

“Selepas kembali (dari Thailand), kami akan mendedahkan mereka kepada kejohanan. Sebelum mereka pergi ke kelayakan Asia di Mongolia (slot ke Sukan Asia).

“Kami akan memastikan Syafiq mendapat pendedahan yang mencukupi kerana di Malaysia, pasukan kami tidak mempunyai ramai pemain kategori heavyweight,” katanya.

Terdahulu, Syafiq merangkul pingat perak bagi kategori 87 kilogram (kg) pada Sukan SEA 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN