SYDNEY: Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilaporkan bakal meninggalkan peranannya bersama Red Bull dan kembali ke bidang kejurulatihan.
Klopp dilantik sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull pada Januari 2025 dengan kontrak lima tahun selepas meninggalkan kejayaan gemilang di Anfield.
Dalam skop kerjanya bersama Red Bull, Klopp bertanggungjawab menyelaras hala tuju RB Salzburg (Austria), RB Leipzig (Jerman), New York Red Bulls (Amerika Syarikat) dan Red Bull Bragantino (Brazil).
Bagaimanapun, akhbar Austria, Salzburger Nachrichten melaporkan Klopp sedang mempertimbangkan haluan baharu selepas keempat-empat kelab tersebut dikatakan belum mencapai kejayaan besar sejak beliau memegang jawatan itu.
Menurut laporan itu, situasi paling membimbangkan ialah di RB Leipzig yang kini menghuni tangga kelima Bundesliga dan terpaksa bersaing sengit dalam kelompok empat pasukan bagi merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Laporan sama turut mendakwa Red Bull tidak akan menghalang Klopp sekiranya beliau berhasrat kembali menjadi jurulatih pada musim panas ini.
Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner yang bakal meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris itu, dikatakan telah dikenal pasti sebagai pengganti, selepas pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih di RB Salzburg dari 2012 hingga 2014.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Red Bull, Oliver Mintzlaff menafikan khabar angin tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas serta direka sepenuhnya.
“Pihak Red Bull amat berpuas hati dengan sumbangan Klopp setakat ini. Klopp memberi komitmen tinggi, sentiasa berhubung rapat dengan barisan jurulatih serta pengarah sukan.
“Beliau memainkan peranan penting dalam membentuk serta memperkukuh falsafah bola sepak Red Bull secara menyeluruh,” kata Mintzlaff.
Klopp tidak lagi mengendalikan mana-mana pasukan sejak meninggalkan Liverpool pada penghujung musim 2023-24 atas alasan mahu berehat daripada tekanan dunia kejurulatihan.
Sejak itu, beliau kerap dikaitkan dengan beberapa kelab ternama termasuk gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Ejennya, Marc Kosicke berkata Klopp pernah didekati Manchester United dan Chelsea FC serta ditawarkan melatih skuad England dan Amerika Syarikat, namun kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris itu menafikan membuat tawaran rasmi.-AGENSI










