LIVERPOOL: Liverpool perlu bersedia berdepan era tanpa khidmat kapten pasukan, Virgil Van Dijk yang berkemungkinan ‘dipancing’ oleh kelab gergasi eropah pada masa akan datang.
Pengendali Liverpool, Arne Slot berkata, sebagai persediaan The Reds telah membuat pelaburan dengan mengikat pertahanan muda Perancis, Jeremy Jacquet sebagai persediaan..
Ketika ini, Van Dijk masih terikat kontrak sehingga musim panas 2027, namun bakal mencecah usia 35 tahun tahun inidan berkemugkinan mencari hala tuju baharu dalam kariernya.
Selain Jacquet, Liverpool juga berbelanja sekitar AS$35 juta (RM141.4 juta) untuk mendapatkan Giovanni Leoni pada jendela perpindahan musim panas lalu.
“Anda sudah lama berada di sini berbanding saya, jadi jika saya katakan setiap perkara yang kelab lakukan ada sebabnya, saya rasa itu bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Setiap keputusan bukan dibuat kerana panik. Ia sentiasa berdasarkan perancangan jangka panjang atau idea yang sudah lama difikirkan, dan bukan oleh seorang individu tetapi ramai pihak.
“Kami sedar Virgil tidak akan bermain untuk kelab ini bagi tempoh 10 tahun lagi. Namun dia masih mempunyai satu setengah tahun kontrak bersama kami dan mungkin lebih lama jika dia terus kekal cergas seperti sekarang.
“Sejujurnya, ia satu pujian besar buatnya pada usia sekarang untuk terus bermain setiap tiga hari, bukan sahaja untuk kelab tetapi juga bersama negaranya, sudah tujuh atau lapan bulan tanpa henti,” kata Slot pada sidang akhbar menjelang aksi menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Isnin ini.
Slot menegaskan Liverpool tetap membuat perancangan rapi bagi menghadapi masa depan tanpa Van Dijk, walaupun berharap tonggak pertahanan Belanda itu dapat terus beraksi pada tahap tertinggi untuk beberapa tahun lagi.
“Harapannya dia boleh kekal cergas untuk beberapa tahun akan datang, tetapi kelab ini bukan naif. Kami tahu dalam beberapa tahun mendatang, akan ada kehidupan di Liverpool tanpa Virgil.
“Dan perkara ini bukan terhad kepada posisi Virgil sahaja. Ia terpakai untuk setiap posisi. Liverpool tidak hanya memikirkan masa terdekat, tetapi juga perancangan jangka sederhana dan panjang,” katanya. – AGENSI










