PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri optimis pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mampu beraksi cemerlang dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Filipina pada Mac depan.
Harnizam berkata, penurunan prestasi pelumba berusia 22 tahun itu dalam Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 baru-baru ini tidak menjadi kebimbangan kerana Nurul Izzah lebih banyak memberi tumpuan kepada sesi latihan di gimnasium.
“Memang saya jangka prestasi dia akan jatuh sebab kita banyak tumpu untuk meningkatkan jisim otot yang mana dia perlu lakukannya sekarang bagi menghadapi ACC nanti.
“Kalau nak dia beraksi dengan baik pada setiap kali perlumbaan tak boleh juga. ACC itu perlumbaan bertaraf lima bintang jadi kita nak dia cemerlang di sana.
“Sebelum kejohanan (Piala Presiden) dia memang banyak habiskan masa di gimnasium sahaja,” katanya.
Terdahulu, Nurul Izzah dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan rakan sepasukannya, Nur Alyssa Mohd Farid untuk memenangi emas dalam acara pecut di Siri Trek Asean (Piala Presiden) 1 pada 7 Januari lalu.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tewas kepada Nur Alyssa dalam acara keirin pada keesokkan harinya di Velodrom Nilai.-UTUSAN










