PETALING JAYA: Keputusan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan jawatan secara kolektif tidak memberi sebarang kesan terhadap proses rayuan kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan, tindakan berkenaan lebih dilihat sebagai langkah strategik untuk meredakan keadaan serta mengelakkan tindakan lebih keras daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), namun tidak berkait secara langsung dengan kes yang sedang dibicarakan di CAS.
Menurut beliau, rayuan di CAS tertumpu sepenuhnya kepada isu pemalsuan dokumen dan bukannya soal tadbir urus, sekali gus menjadikan peletakan jawatan itu tidak relevan dalam konteks perbicaraan undang-undang berkenaan.
“Pada mata FIFA, isu dokumen palsu ini adalah akibat salah tadbir urus pihak FAM dan jika muka sama masih kekal dan berdegil untuk kekal, FIFA mungkin mengambil tindakan lebih serius.
“Peletakan jawatan mungkin kompromi supaya AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bantu tadbir urus FAM, dan bukannya FIFA,” katanya.
CAS dijadual mengadakan pendengaran secara bersemuka bagi kes melibatkan tujuh pemain warisan pada 26 Februari ini, namun Nik Erman menjangkakan keputusan tidak akan diumumkan pada hari yang sama.
“Saya percaya keputusan akan dikeluarkan pada tarikh lain. Biasanya, keputusan akan ditangguhkan ke hari lain bagi arbitrator untuk berdeliberasi dan menyediakan alasan penghakiman,” katanya.
Pada Rabu lalu, FAM mengumumkan semua Exco bagi penggal 2025–2029 meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela dengan serta-merta, satu langkah yang jarang berlaku dalam landskap bola sepak tempatan dan Asia.
Menurut kenyataan rasmi badan induk itu, keputusan tersebut diambil bagi menjaga reputasi serta kepentingan organisasi selain mengurangkan risiko lebih besar yang boleh memberi kesan buruk kepada bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
Langkah itu juga bertujuan membuka ruang kepada FIFA dan AFC untuk menilai secara bebas aspek tadbir urus serta pentadbiran FAM, selain membolehkan sebarang penambahbaikan dilakukan tanpa kekangan.
Ketika ini, FAM ditadbir oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dengan badan induk itu turut menjemput AFC untuk membantu menjalankan penilaian menyeluruh terhadap pengurusan dan pentadbiran dalam usaha memperbaiki kelemahan sedia ada.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John memaklumkan bahawa pasukan AFC memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk melaksanakan penilaian terhadap keseluruhan sistem pengurusan FAM, dengan proses itu dijadual bermula hari ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa FAM tidak akan digantung oleh FIFA susulan langkah pemulihan dalaman yang sedang dilaksanakan ketika ini.- UTUSAN










