Elaine berlari sambil berkarya

Elaine berlari sambil berkarya

ELAINE Lo aktif dalam larian jarak jauh dalam kejohanan dalam dan luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT terhadap dunia penulisan menukarkan hobi Elaine Lo daripada seorang pelari jarak jauh, menjadi kerjaya yang membawanya menjelajah dunia sambil menulis kisah atlet negara.

Gadis Sino-Kadazan dari Sabah itu pada awalnya sekadar gemar menulis diari sebelum mengorak langkah lebih serius untuk menjadi penulis profesional.

“Saya memang dari kecil sudah mahu menjadi penulis, saya suka menulis dan mendengar cerita orang untuk dijadikan kisah.

“Saya pernah ada blog sendiri dan impian saya memang mahu jadi penulis, malah pernah terfikir untuk menjadi penulis fiksyen,” kata Elaine kepada Mingguan Malaysia.

Impian itu diteruskan sehingga ke menara gading apabila dia menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris (Linguistik) di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak.

“Selepas tamat pengajian, saya cari kerja di majalah sebab saya memang mahu menulis apa sahaja.

“Dulu saya tak tahu pun ada pelbagai jenis penulisan seperti berita atau rencana, saya cuma tahu saya mahu menulis,” katanya.

Minat terhadap sukan seperti marathon dan berbasikal pula hadir apabila dia menyertai sebuah syarikat majalah sukan yang menerbitkan tentang larian dan berbasikal Malaysia pada 2015.

Bekas majikannya menawarkan peluang bekerja sambil mengembara dan membuat liputan acara sukan tanpa perlu terikat sepenuhnya di pejabat.

“Saya boleh keluar membuat liputan larian dan berbasikal, pada masa sama menulis cerita, jadi itu peluang yang sangat menarik bagi saya,” katanya.

Daripada sekadar membuat liputan, Elaine kemudian mencabar diri dalam dunia larian ultra dan mula menyertai acara 100 kilometer (km) tahun lalu.

“Saya sudah menamatkan beberapa perlumbaan 100km dan sasaran seterusnya ialah 100 batu iaitu 160km, itu akan jadi pencapaian terbesar saya jika berjaya,” katanya.

Malah, minatnya itu membuahkan hasil apabila pernah muncul naib juara dalam Larian Ultra Antarabangsa yang berlangsung di Pulau Langkawi, tahun lalu.

Namun, pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi tamparan hebat apabila semua acara sukan terhenti.

“Waktu PKP tiada acara dan tiada kerja, jadi saya ambil keputusan berhenti dan fikir untuk bina sesuatu sendiri,” katanya.

Dari situ lahirlah ArenaMalaysia.Asia, platform dicipta olehnya yang menghimpunkan liputan atlet tempatan dalam sukan larian, berbasikal dan triatlon.

“Saya tak mahu hanya menulis, saya mahu buat temu bual video supaya pembaca boleh rasa sendiri emosi atlet yang bercerita,” katanya.

Selain aktif membuat liputan dalam negara, Elaine juga berpeluang membuat liputan marathon di Tokyo, Sydney dan New York.

Namun sejauh mana pun dia melangkah, keluarganya di Beaufort, Sabah tetap menjadi keutamaan setiap kali Tahun Baharu Cina.

“Saya akan susun jadual supaya tak pernah terlepas sambutan bersama keluarga dan tahun ini saya dapat berehat sepenuhnya,” katanya.

Selepas 11 tahun menulis kisah suka duka atlet negara, Elaine kini memasang impian lebih besar untuk menubuhkan kelab lengkap dengan trek khas bagi membantu atlet balapan negara berlatih dalam fasiliti yang lebih baik.

“Saya banyak dengar atlet mengeluh tentang kekurangan trek yang sesuai, jadi saya harap suatu hari nanti saya dapat realisasikan impian itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN