City enggan menyerah kalah

City enggan menyerah kalah

PEP GUARDIOLA - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pep Guardiola menegaskan Manchester City tidak akan mengalah dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris meskipun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur, semalam.

City kelihatan berada di landasan tepat selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Rayan Cherki dan Antoine Semenyo, namun kelebihan itu gagal dipertahankan apabila tuan rumah bangkit dengan dua gol selepas rehat.

Keputusan tersebut menyaksikan City kekal di tangga kedua liga dan kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Arsenal yang kembali ke prestasi terbaik dengan kemenangan 4-0 ke atas Leeds United.

Guardiola bagaimanapun tidak menyembunyikan kekecewaan terhadap keputusan pengadil berhubung gol pertama Tottenham, sambil menyifatkan insiden itu sepatutnya dihukum sebagai kesalahan.

“Jika pertahanan tengah melakukan perkara sama terhadap penyerang, itu adalah penalti. Selepas gol itu, momentum perlawanan menjadi sukar untuk dikawal,” kata Guardiola.

Walaupun City hanya mencatat satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir liga, Guardiola tetap yakin peluang untuk mengejar Arsenal masih terbuka.

“Dengan baki 14 perlawanan, selagi peluang itu ada, harapan akan sentiasa ada. Kami berdepan pelbagai cabaran termasuk kecederaan, namun semangat pasukan sangat baik dan pemain-pemain semakin pulih,” katanya.

Sementara itu, pengendali Spurs, Thomas Frank memuji ketabahan barisan pemainnya yang berjaya mengikat City sambil menyifatkan keputusan itu sebagai bukti kemajuan pasukan.

“Saya sangat bangga dengan semangat dan daya tahan pemain. Mereka menunjukkan karakter yang kuat walaupun berdepan kekangan kecederaan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN