MILAN: Marco Bezzecchi mengikat komitmen jangka panjang bersama Aprilia apabila melanjutkan kontraknya sehingga hujung musim MotoGP 2028.
Perkembangan itu menyaksikan Bezzecchi dan Aprilia menjadi gandingan pertama yang mengesahkan hala tuju bagi kitaran peraturan baharu MotoGP, ketika beberapa nama besar lain dijangka tamat kontrak pada penghujung 2026.
Sepanjang musim sulungnya bersama pasukan itu, Bezzecchi meraih tiga kemenangan Grand Prix (GP), 15 podium serta lima petak utama sebelum menamatkan kempen di kedudukan ketiga keseluruhan.
“Saya amat gembira dapat memperbaharui kontrak untuk dua tahun lagi. Sejak hari pertama menandatangani kontrak, saya sudah memasang impian untuk membina projek jangka panjang bersama pasukan ini.
“Saya berterima kasih atas sokongan penuh daripada seluruh pasukan dan kilang di Noale. Saya berharap dapat menghadiahkan lebih banyak kejayaan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola menyifatkan lanjutan kontrak tersebut sebagai keutamaan utama pasukan.
“Kami amat berpuas hati kerana pembaharuan ini adalah keutamaan kami. Kami mahu meraikannya dengan cara yang menyeronokkan, sesuai dengan personaliti Marco.
“Kami telah membina asas yang kukuh dan keputusan Marco untuk kekal bersama kami walaupun menerima beberapa tawaran lain membuktikan keyakinannya terhadap projek ini,” katanya. – AGENSI










