LEEDS: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta gembira dengan impak segera Noni Madueke yang memamerkan kualiti sebenar ketika The Gunners membelasah Leeds United 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Dalam aksi berkenaan, Madueke yang juga pemain sayap England tersenarai pada saat akhir selepas Bukayo Saka terpaksa digugurkan selepas mengalami masalah pinggul ketika sesi pemanas badan.
Madueke, yang menyertai Arsenal dari Chelsea musim panas lalu menerusi perpindahan bernilai sekitar 50 juta pound (RM271.9 juta), membalas kepercayaan itu dengan aksi cemerlang walaupun kebanyakannya berperanan sebagai pemain simpanan musim ini.
Pemain berusia 23 tahun itu menjadi arkitek Arsenal, mencipta gerakan bagi gol pembukaan Martin Zubimendi pada minit ke-27, sebelum menghantar sepakan sudut berbahaya yang menyebabkan penjaga gol Leeds, Karl Darlow, tertampan bola ke gawang sendiri 11 minit kemudian.
Arteta memuji Madueke yang disifatkan memberi impak segera kepada pasukan, sekali gus memastikan kemenangan pertama Arsenal dalam empat perlawanan liga, yang kini meletakkan mereka dengan kelebihan tujuh mata di puncak liga.
“Saka tidak selesa untuk memulakan perlawanan, jadi kami buat keputusan segera dan memasukkan Noni. Dia bersedia kerana tahap persediaan itu tidak boleh dibuat dalam masa dua minit sahaja.
“Cara dia bersiap, cara dia menunggu peluang, benar-benar memberi kesan kepada pasukan,” kata Arteta
Madueke mengakui dia hanya dimaklumkan pada saat akhir mengenai peranannya dalam kesebelasan utama.
“Saya tidak tahu apa berlaku kepada Saka. Saya mungkin hanya ada lima minit untuk memanaskan badan sebelum bermain. Sebagai pemain serangan, anda sentiasa mahu beri impak, sama ada menjaringkan gol atau mencipta peluang,” katanya.
Kapten pasukan, Martin Odegaard bermula di bangku simpanan, dengan seorang lagi pemain antarabangsa England, Eberechi Eze, membuat penampilan ringkas lewat perlawanan.
“Kami perlu menempuh pelbagai situasi dan memerlukan semua pemain melaksanakan peranan masing-masing. Hari ini mereka melakukannya dengan sangat baik,” tambah Arteta.- AGENSI










