BERMULA sekadar kejutan hari lahir untuk rakan baik, minat terhadap seni gubahan bunga kini berkembang menjadi sebuah perniagaan seni bunga yang semakin mendapat tempat dalam industri perkahwinan dan acara di Malaysia menerusi jenama The Bow Box.
Pengasasnya, Alia Natashah Md Shah, 33, mengusahakan perniagaan berasaskan seni floral itu secara sepenuhnya dalam talian, menawarkan pengalaman bunga yang lebih moden, interaktif dan diperibadikan mengikut keperluan pelanggan.
Anak keempat daripada lima adik-beradik itu berkata, minat dan keyakinannya untuk menceburi dunia perniagaan banyak dipengaruhi oleh persekitaran keluarga yang kreatif dan saling menyokong sejak kecil.
“Membesar dalam keluarga yang kreatif dan penuh sokongan banyak membentuk minat serta keyakinan saya untuk menceburi dunia perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun memiliki latar belakang akademik dalam Ijazah Sarjana Muda Quantity Surveying dan pernah terlibat dalam industri pembinaan, Alia Natashah mengakui minat terhadap seni gubahan bunga tidak pernah terpadam.
“Minat saya terhadap gubahan bunga sebenarnya banyak dipengaruhi oleh ibu saya yang gemar menyediakan hantaran perkahwinan untuk ahli keluarga. Dari situlah saya mula bereksperimen dengan rekaan sendiri,” katanya.
Langkah awal The Bow Box bermula secara tidak dirancang pada tahun 2021 apabila Alia Natashah menyediakan penghantaran kejutan sebagai hadiah hari lahir rakan baiknya sebelum memuat naik gambar rekaan tersebut di Instagram.
“Selepas itu, rakan-rakan lain mula berminat dan meminta saya menyediakan bunga tangan untuk majlis perkahwinan mereka. Dari situlah tempahan pertama datang dan perniagaan ini bermula secara perlahan,” jelasnya.
Perkembangan lebih besar berlaku pada tahun 2023 apabila adiknya berkahwin dan Alia menyediakan sudut gubahan bunga sebagai buah tangan sambil merakam kandungan untuk dikongsi di TikTok.
“Sejak video itu tular, ramai yang mesej bertanya dan berminat dengan konsep tersebut.
“Daripada situ, lahirlah Sudut Gubahan Bunga Perkahwinan (Wedding Flower Bar) pertama di Malaysia, sekali gus menjadikan konsep itu antara perkhidmatan teras The Bow Box sehingga hari ini,” katanya.
The Bow Box menawarkan pelbagai perkhidmatan berasaskan seni bunga termasuk bar bunga yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pelanggan, bengkel gubahan bunga, khidmat penggayaan dan dekorasi acara, hiasan meja utama, jambangan bunga pengantin serta perkhidmatan penghantaran kejutan yang lebih peribadi.
Menurut Alia Natashah, keunikan The Bow Box terletak pada gabungan rekaan eksklusif dan pengalaman interaktif yang jarang ditawarkan oleh florist konvensional.
“Kami bukan sekadar menjual bunga, tetapi mencipta pengalaman. Pelanggan boleh memilih sendiri bunga segar, warna dan susunan mengikut cita rasa mereka, menjadikan setiap jambangan lebih bermakna.
“Sepanjang mengusahakan perniagaan itu, pelbagai cabaran turut ditempuh, antaranya risiko cuaca ketika menjalankan bar bunga sementara di Balai Seni Negara serta tempahan berskala besar yang menuntut pengurusan operasi rapi.
“Antara pengalaman paling mencabar ialah apabila The Bow Box menerima tempahan sebanyak 2,000 gubahan untuk dua acara korporat yang berlangsung serentak.
“Ketika itu, rumah saya penuh dengan pekerja yang bekerja secara syif siang dan malam selama tiga hari dua malam. Alhamdulillah, semuanya berjaya disiapkan dan dihantar tepat pada masanya,” katanya.
Walaupun belum mempunyai cawangan fizikal, operasi The Bow Box dijalankan sepenuhnya melalui platform digital seperti Instagram, Facebook, TikTok dan WhatsApp selain pertemuan secara janji temu bagi tempahan berskala besar.
Dari segi sambutan, Alia Natashah berkata, permintaan pelanggan sebagai sangat memberangsangkan, khususnya daripada industri perkahwinan dan pelanggan korporat.
Antara syarikat yang pernah mendapatkan khidmat The Bow Box termasuk Grab Malaysia, Permodalan Nasional Berhad, Malayan Banking Berhad, DHL Express Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad dan Tokio Marine Life Insurance Malaysia Berhad.
“Bila pelanggan datang semula untuk tempahan baharu, itu menjadi petunjuk utama bahawa mereka berpuas hati dengan pengalaman yang kami tawarkan,” katanya.
Bagi perancangan masa depan, Alia Natashah berhasrat untuk membuka The Bow Box Studio sebagai ruang fizikal bagi pelanggan mendapatkan konsultasi serta melihat pilihan bunga secara langsung.
“Kami mahu wujudkan satu ruang yang bukan sahaja menjual bunga, tetapi membina pengalaman yang membuatkan pelanggan rasa disambut dan dihargai,” katanya.
Tambahnya, bagi mereka yang ingin menceburi dunia perniagaan supaya tidak menunggu waktu yang sempurna.
“Jika sudah ada minat dan idea, mulakan dari sekarang. Setiap langkah kecil hari ini adalah permulaan,” katanya. – UTUSAN










