TMM2026 dijangka lonjak kewangan KLCCP

TMM2026 dijangka lonjak kewangan KLCCP

CGS International mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan TP RM8.85 sesaham bagi KLCCP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) antara pemangkin kepada prestasi kewangn lebih kukuh KLCCP Stapled Group (KLCCP) pada tahun ini, susulan kekuatan berterusan aset pejabat dan runcit serta pemulihan aktiviti pelancongan.

Penganalisis CGS International (CGSI), Lucas Tan berkata, firma itu menjangkakan tumpuan pelabur kekal kepada kesan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) enam peratus ke atas perkhidmatan sewaan dan pajakan. 

Menurutnya, ia turut merangkumi implikasi tamatnya konsesi cukai pegangan 10 peratus ke atas agihan amanah pelaburan hartanah (REIT) selepas 31 Disember 2025 dan  potensi peningkatan prestasi Suria KLCC dan Mandarin Oriental Kuala Lumpur (MOKL) semasa TMM2026.

“Pada pandangan kami, kesan SST adalah minimum memandangkan tahap kesetiaan penyewa yang tinggi dalam aset runcit dan pejabatnya.

“Namun begitu, tamatnya konsesi cukai pegangan 10 peratus jangka menekan penilaian sektor melalui penyusutan hasil dividen selepas cukai. 

“Berdasarkan kiraan kami, hasil selepas cukai tahun kewangan 2026 REIT sebanyak 4.55 peratus di bawah cukai pegangan semasa 10 peratus akan susut sekitar 70 mata asas kepada 3.84 peratus jika kadar cukai 24 peratus dikenakan.

“Ini sekali gus mengurangkan daya tarikannya kepada pelabur yang menumpukan pendapatan dividen,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Bagi suku keempat 2025, KLCCP merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM205.6 juta, naik 5.0 peratus tahun ke tahun, disokong hasil lebih tinggi berjumlah RM493.0 juta ( naik 7.0 peratus). 

Keuntungan bersih teras bagi 2025 penuh pula berjumlah RM815.7 juta atau naik 4.0 peratus tahun ke tahun, sedikit di bawah unjuran pada 94 peratus, namun sejajar dengan konsensus Bloomberg Tahun Kewangan 2025 pada 97 peratus.

Kelemahan margin keuntungan suku ke suku berlaku merentas semua segmen kecuali MOKL. 

Bagaimanapun, pertumbuhan tahun ke tahun 2025 didorong oleh sumbangan penuh Suria KLCC, susulan pemerolehan pegangan 40 peratus yang dimuktamadkan pada April 2024. 

KLCCP turut mengisytiharkan dividen 19.1 sen bagi suku keempat 2025, menjadikan jumlah dividen tahun lalu sebanyak 47.0 sen, meningkat 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lucas berkata, pihak pengurusan menganggarkan kadar penghunian runcit kekal kukuh pada 98 peratus dan pembalikan sewaan stabil pada paras rendah hingga sederhana satu digit, disokong trafik pengunjung serta jualan penyewa yang berdaya tahan. 

“Kami turut menjangkakan pemulihan prestasi hotel secara berperingkat, didorong oleh peningkatan permintaan perjalanan dan acara utama seperti Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta kempen TMM 2026.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘pegang’  dengan harga sasaran (TP) RM8.85 berasaskan model DDM, memandangkan momentum pertumbuhan pendapatan tahun kewangan 2026 sebahagian besarnya telah diambil kira. 

Prospek KLCCP kekal kukuh sehingga tahun kewangan 2028 yang diramalkan, disokong operasi runcit yang mantap dan pemulihan hotel hasil penggunaan domestik serta pemulihan pelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN