LONDON: Arsenal mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam Tottenham 4-1 di laman sendiri, awal pagi tadi.
Dalam aksi itu, Eberechi Eze dan Viktor Gyokeres masing-masing meledak dua untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.
Arsenal kini mengumpul 61 mata daripada 28 perlawanan, lima mata mengatasi Manchester City di tempat kedua yang bermain kurang satu perlawanan.
Eze membuka tirai jaringan menerusi voli minit ke-32, tetapi Randal Kolo Muani menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Gyokeres mengembalikan kelebihan Arsenal sejurus babak kedua bermula sebelum Eze menambah gol ketiga. Gyokeres melengkapkan kemenangan dengan gol kedua dalam masa kecederaan.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, memuji pendekatan pasukannya.
“Sangat gembira dan bangga dengan cara kami mendekati perlawanan ini. Inisiatif dan kualiti yang ditunjukkan untuk datang ke sini dan menang,” kata Arteta.
Kemenangan itu adalah yang terbesar buat Arsenal di gelanggang Tottenham dalam liga sejak tahun 1978.
Tottenham yang kini dibimbing Igor Tudor terus bergelut di tangga ke-16, hanya empat mata di atas zon penyingkiran dan masih tanpa kemenangan liga sepanjang tahun ini.
Sebelum ini, dua keputusan seri berturut-turut termasuk ketika mendahului 2-0 menentang Wolverhampton Wanderers mencetus kebimbangan Arsenal bakal tercicir dalam pemburuan gelaran pertama sejak tahun 2004.
Namun, kejayaan di laman lawan ini membolehkan Arsenal kembali bernafas lega dalam perlumbaan kejuaraan yang dijangka berlanjutan hingga penghujung musim.-AGENSI










