Alcaraz mara ke final Terbuka Qatar

Alcaraz mara ke final Terbuka Qatar

Pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz mara ke final Terbuka Qatar - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Pemain No. 1 dunia, Carlos Alcaraz mara ke final Terbuka Qatar selepas membenam juara bertahan, Andrey Rublev 7-6 (7/3), 6-4 di separuh akhir, semalam.

Beraksi dalam kejohanan pertamanya sejak menjuarai Terbuka Australia awal bulan ini, Alcaraz akan bertemu Arthur Fils dalam perlawanan akhir.

Pemain Perancis berusia 21 tahun itu menang 6-4, 7-6 (7/4) ke atas pilihan keenam, Jakub Mensik yang sebelum itu menundukkan Jannik Sinner di suku akhir.

Selepas dua jam dua minit di atas gelanggang, Alcaraz mengekalkan rekod kemenangan sempurnanya kepada 11 perlawanan musim ini.

“Cara saya mendekati setiap perlawanan, saya benar-benar bangga mengenainya. Ini sesuatu yang saya cuba untuk menjadi lebih baik dan ia membuahkan hasil. Saya bangga dengan diri saya kerana semakin baik dan matang,” katanya.

Pemain Sepanyol itu dua kali gagal menamatkan set pembukaan dengan servisnya dan melihat kelebihan 3-0 di set kedua segera ditamatkan.

Dalam aksi itu, Alcaraz turut terlepas tiga mata perlawanan pada servis di kedudukan 5-3 apabila Rublev cuba bangkit semula dalam perlawanan.

Namun, Alcaraz mengekalkan ketenangannya dan menamatkan permainan pada percubaan keenam untuk mara ke final Terbuka Qatar buat kali pertama.

“Jika anda mahu mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah, anda harus mencarinya di tempat yang tenang,” kata Alcaraz. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN