SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) belum dapat mengatasi masalah tumpuan para pemain pasukan itu pada minit-minit akhir perlawanan yang menyaksikan keputusan perlawanan berubah menyebelahi pasukan lawan.
Perlawanan menentang Imigresen FC (IFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi menjadi satu lagi igauan kepada pasukan itu yang kalah ketika masa perlawanan berbaki enam minit selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 1-1.
Ketua Jurulatih NSFC, Mohd. Nidzam Jamil berkata, pasukannya telah memberikan sepenuh tenaga untuk mencapai kemenangan dalam perlawanan malam tadi walaupun bersaing dengan 10 pemain selepas Yuichi Hirano dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua.
“Saya percaya kami telah memberi segala yang kita mampu untuk memenangi perlawanan ini tetapi sekali lagi isu konsentrasi menjadi masalah dalam masa lima minit terakhir. Kita boleh lihat beberapa perlawanan minit ke-85, minit ke-90, sentiasa jadi pemisah antara kami dengan kutipan mata,” katanya kepada para pemberita selepas perlawanan malam tadi.
Dalam perlawanan itu NSFC tumpas menerusi gol pemain import Imigresen, Eduardo Jose Vegas. NSFC mendahului pada minit kelapan menerusi gol Luqman Hakim Shamsuddin.
Mohd. Nidzam memberitahu, beliau tidak gembira dengan situasi itu dan mahu ia diperbaiki dalam perlawanan akan datang.
“Saya akan cakap perkara ini setiap minggu jika ia terus berlaku. Saya tidak mempunyai banyak alasan untuk berkata, oh..kita dah buat begini, buat begitu,” ujarnya.
Mengenai kedudukannya sebagai ketua jurulatih susulan keputusan yang tidak menyenangkan itu, beliau berkata, tumpuan dan tanggungjawabnya jelas untuk membuatkan pasukan itu lebih baik berbanding musim lalu.
“Jika tidak menepati sasaran dan pihak pengurusan merasakan bahawa ia tidak cukup bagus maka saya adalah orang pertama bertanggungjawab dalam perkara ini. Pihak pengurusan sentiasa berhubung dengan saya dan mereka sangat faham. Tidak ada isu tentang ketidakpercayaan atau keyakinan,” ujarnya.
Semenara itu, ketua jurulatih Imigresen, Yusri Che Lah berkata, pasukannya menyifatkan kemenangan itu sangat bermakna selepas kecewa kerana terkeluar daripada semua saingan termasuk Piala Cabaran dan kini hanya tinggal perlawanan Liga Super.
Katanya, perlawanan malam tadi tidak mudah kerana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan selepas tewas dalam perlawanan sebelumnya.
“Walaupun NSFC kekurangan seorang pemain yang dilayangkan kad merah namun seringkali pasukan yang memiliki kekurangan pemain akan memberikan banyak masalah kepada pasukan yang memiliki lebih pemain. Tetapi kami bersyukur para pemain dapat juga memberikan kemenangan yang amat bermakna dan membaiki kedudukan di liga,”katanya.-UTUSAN











