Tang Jie-Ee Wei perlu lebih konsisten

Tang Jie-Ee Wei perlu lebih konsisten

AKSI Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika menentang Tang Chun Man-Tse Ying Suet di suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026, di Stadium Axiata Arena, kelmarin. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu lebih konsisten dalam setiap kejohanan disertai sekiranya mahu bergelar beregu handalan dunia.

Ketua jurulatih beregu campuran Malaysia, Nova Widianto berkata, pasangan No. 4 dunia itu perlu konsisten mara ke final atau separuh akhir secara berturut-turut dalam setiap kejohanan.

“Mereka sebenarnya jarang kalah di pusingan pertama atau kedua. Tapi untuk konsisten mara ke final atau sekurang-kurangnya ke separuh akhir secara berturut-turut, itu yang masih sukar.

“Jangan cakap pasal juara, hendak ke final atau separuh akhir dua ke tiga kali berturut-turut pun masih belum boleh. Kalau hendak jadi pemain handalan, memang kena konsisten di situ.

“Kena ikut status kita sebagai beregu pilihan, kalau kita pilihan ketiga atau keempat, sekurang-kurangnya kita harus berada di tahap itu. Nanti baru boleh naik lagi. Kalah di suku akhir itu sebenarnya tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata demikian ketika mengulas mengenai prestasi Tang Jie-Ee Wei yang terkandas di suku akhir selepas tewas di tangan gandingan No. 8 dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 17-21, 21-17, 10-21.

Menurut Nova, jika dinilai dari segi fizikal, Tang Jie-Ee Wei tidak sepatutnya kalah kerana mereka lebih muda dan menerima latihan yang lebih intensif.

Katanya lagi, kesilapan yang terlalu kerap sehingga kehilangan terlalu banyak mata turut menjadi penyumbang kepada kekalahan beregu negara itu.

“Hilang mata banyak dan kita tengok tadi (kelmarin) tak sampai rali pun. Satu, dua, tiga pukulan terus hilang mata. Sepatutnya mereka boleh lebih fokus dan keluar daripada situasi itu dahulu. Kalau dalam satu, dua, tiga pukulan itu mereka tak hilang mata, kita boleh dapat banyak mata,” ujarnya.

Nova juga memohon maaf kepada peminat badminton tanah air kerana anak-anak buahnya gagal memenuhi jangkaan untuk melangkah sehingga ke perlawanan akhir.

Ketika ditanya mengenai Terbuka India yang bermula, Selasa ini, beliau berkata, Tang Jie-Ee Wei perlu melupakan apa yang berlaku pada Terbuka Malaysia dan alihkan fokus mereka ke India pula.

“Harapannya adalah separuh akhir atau final. Mudah-mudahan kita boleh capai. Kalau kita asyik fikir ‘oh kita sudah kalah, sasaran sudah terlepas’, saya rasa mungkin akan jadi lebih teruk. Jadi kena lupakan di sini, walaupun kecewa, kena lupakan hasil di sini,” tegasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN