KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menerima surat makluman daripada peguam bekas Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang menyatakan hasrat beliau untuk bersara awal daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut membolehkan proses mencari pengganti bagi jawatan Panglima Angkatan Tentera dimulakan.
Katanya, Majlis Angkatan Tentera (MAT) sebelum ini telah memutuskan Hafizuddeain sebagai calon Panglima Angkatan Tentera, namun, pelantikan yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari itu terpaksa ditangguhkan susulan kes yang sedang dihadapinya.
“Dengan persaraan awal tersebut, jawatan Panglima Angkatan Tentera kini kosong dan buat sementara waktu dipangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain
“Proses pencarian calon Panglima Angkatan Tentera baharu akan dilaksanakan melalui MAT sebelum dikemukakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.
“Proses ini mengambil masa kerana ia melibatkan prosedur rasmi. Sekiranya cadangan tidak diperkenankan, MAT akan mengemukakan pencalonan baharu sehingga mendapat perkenan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera sebelum diputuskan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang berlangsung pada 19 November lalu dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember.
Turut diputuskan melalui mesyuarat sama ialah pelantikan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Bagaimanapun pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.
Beliau diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau.
Hafizuddeain bersama dua isteri kemudiannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek perolehan tender Tentera Darat.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, permohonan persaraan awal Muhammad Hafizuddeain turut bertujuan memberi laluan kepada pengisian segera jawatan Panglima Angkatan Tentera demi pentadbiran Dan kepimpinan tertinggi ATM.-UTUSAN










