KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM1.1 bilion dirampas Polis Kuala Lumpur dengan 20,540 individu ditahan sepanjang tahun lalu hasil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, sejumlah 1.08 juta kilogram dadah telah dirampas dengan nilai keseluruhan RM1.1 bilion.
Beliau berkata, sepanjang tempoh sama, seramai 20,540 suspek ditahan melibatkan 18,352 kes berkaitan aktiviti pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah.
“Daripada jumlah itu, kategori bekalan mencatatkan 3,174 kes dengan 4,265 tangkapan, kategori permintaan melibatkan 4,833 kes dengan 5,930 tangkapan manakala kategori urin merekodkan 10,345 kes dan tangkapan.
“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 498 tangkapan yang dikenal pasti sebagai penagih berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan tidak melebihi tiga sebatan.
Jelasnya, seramai 77 ahli sindiket turut diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Tindakan sitaan harta dilaksanakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan berjumlah RM14 juta melibatkan tanah, rumah, kenderaan, wang tunai dan barang kemas.
“Pelupusan barang kes dadah dan kertas siasatan turut dilaksanakan melibatkan 24,149 barang kes dadah dengan berat keseluruhan 2,185 kilogram bernilai RM44 juta bagi tempoh 2009 hingga 2024.
“Sebanyak 3,527 kertas siasatan merangkumi tahun 1993 hingga 2016 juga telah dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, PDRM khususnya JSJN akan terus memerangi aktiviti pengedaran dadah dan berharap orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.- UTUSAN










