PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara dijangka bakal mengadakan perlawanan ujian gred A di Ratchaburi menjelang persiapan kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw 2026 di Tanah air pada Mei ini.
Ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, pengalaman menjalani perlawanan ujian di Ratchaburi dua minggu sebelum Sukan SEA 2025 lalu memberikan banyak manfaat kepada pemain, khususnya dalam menilai kekuatan dan kelemahan menerusi analisis prestasi secara terperinci.
“Perlawanan ujian yang bertaraf tinggi ini membolehkan kami menilai kemampuan sebenar pemain dari segi biomekanik, kecergasan dan elemen lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, walaupun kos perlawanan gred A di Ratchaburi agak tinggi, pihaknya bersedia berbelanja demi mendapatkan pengalaman terbaik untuk pasukan.
“Kami telah maklumkan kepada pihak Ratchaburi bahawa kami mahukan perlawanan ujian yang berkualiti tinggi, bukan biasa-biasa sahaja.
“Matlamat kami adalah untuk memaksimumkan prestasi pasukan negara,” jelasnya.
Untuk rekod, skuad negara melakar sejarah apabila berjaya merangkul pingat emas dalam acara regu berpasukan pada temasya sukan SEA lalu di Thailand selepas menewaskan tuan rumah pada aksi final yang berlangsung di Nakhon Pathom.
Kemenangan itu sekaligus menamatkan kemarau 34 tahun untuk sepak takraw negara dalam acara berpasukan. – UTUSAN










