Swiatek idam kejuaraan Terbuka Australia

Swiatek idam kejuaraan Terbuka Australia

IGA SWIATEK - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Iga Swiatek tiba di Melbourne Park dengan misi melengkapkan ‘resume’ Grand Slamnya yang sehingga kini masih kempunan gelaran Terbuka Australia.

Pemain Poland berusia 24 tahun itu sudah menakluk gelanggang keras Terbuka Amerika Syarikat, tanah liat Roland Garros dan rumput Wimbledon, tetapi masih belum berjaya mara ke final Terbuka Australia selepas dua kali terkandas di separuh akhir.

“Buat masa ini saya tidak menetapkan sasaran keputusan.

“Saya hanya memberi fokus untuk berkembang dari segi teknikal dan meningkatkan kualiti permainan tenis saya sendiri,” kata Swiatek yang juga pemain No.2 dunia.

Pendekatan itu lahir hasil refleksi mendalam selepas kegagalan mara ke separuh akhir WTA Akhir buat tahun kedua berturut-turut, selain kesedaran terhadap beban fizikal dan mental akibat jadual jelajah yang panjang serta mencabar.

Swiatek mengakui tempoh rehat lebih lama di tanah air menjelang Krismas memberinya kesegaran baharu, di samping kerjasama berterusan bersama pakar psikologi sukan, Daria Abramowicz, yang terus memainkan peranan penting dalam rutin dan persediaannya.

“Saya berharap tempoh persiapan ini membolehkan saya memulakan musim baharu dengan persembahan yang mantap dan konsisten.

“Selain itu, saya mahu memberi ruang untuk mempelajari sesuatu yang baharu,” kata Swiatek.

Kekalahan dramatik di separuh akhir Terbuka Australia tahun lalu kepada Madison Keys masih segar dalam ingatan, namun pengalaman itu dianggap sebagai bahan bakar untuk menyesuaikan diri dengan cabaran gelanggang keras Melbourne yang terkenal mencabar.

Meskipun baru dikecewakan Belinda Bencic di final Piala United, Swiatek percaya asas permainannya berada pada landasan tepat dan dengan barisan juara Grand Slam termasuk pilihan utama Aryna Sabalenka menanti, peluang melengkapkan Grand Slam tetap terbuka jika dia berjaya menguasai pentas Melbourne kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN