Siby senjata baharu Selangor FC

Siby senjata baharu Selangor FC

Mahame Siby (kanan) sudah turun menjalani latihan bersama Selangor FC.- IHSAN SFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC mengumumkan kehadiran pemain tengah berpengalaman, Mahame Siby bagi memperkukuhkan pasukan Red Giants dalam baki saingan Liga Super Malaysia 2025/26.

Skuad Gergasi Merah dalam satu kenyataan berkata, kehadiran Siby mampu menambah kualiti dan kestabilan di bahagian tengah pasukan bagi menghadapi baki saingan Liga Super serta kempen Piala Shopee ACC 2025/26.

“Selangor FC secara rasminya telah mengumumkan bahawa Mahamé Siby, yang lahir di Bobigny, Perancis, akan menyertai keluarga Red Giants semasa jendela perpindahan kedua musim 2025/26,” kata kenyataan itu.

Pemain berusia 29 tahun kelahiran Bobigny, Perancis itu menjadi rekrut terbaharu Selangor FC dan merupakan pengalaman pertamanya beraksi di benua Asia selepas membina kerjaya profesional sepenuhnya di Eropah.

Mengulas keputusannya menyertai Selangor FC, Siby mengakui teruja untuk keluar daripada zon selesa dan menyahut cabaran baharu di Asia.

“Saya bersedia untuk keluar dari zon selesa dan menerima cabaran baharu di tempat yang belum pernah saya kunjungi sebelum ini. 

“Saya sangat teruja untuk mengenali budaya Malaysia serta membina hubungan dengan masyarakat dan pasukan di sini,” katanya.

Beliau turut menyedari reputasi penyokong setia Red Giants yang terkenal dengan sokongan padu dan berjanji akan memberikan komitmen sepenuhnya di atas padang.

“Saya dengar penyokong Selangor FC sangat berdedikasi. Saya berharap dapat membalas sokongan mereka dengan aksi terbaik dan meninggalkan impak positif kepada kelab ini,” ujarnya.

Siby merupakan produk akademi AF Bobigny sebelum memulakan kerjaya profesional bersama kelab tersebut dengan 25 penampilan. 

Beliau kemudian menyarung jersi Valenciennes FC sebelum mencipta pengalaman di Ligue 1 bersama RC Strasbourg, termasuk lapan penampilan di liga utama Perancis.

Kerjayanya terus berkembang apabila dipinjamkan ke Paris FC pada 2021, di mana beliau tampil konsisten dengan 27 penampilan sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pemain tengah bertahan yang berdisiplin dan versatil.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN