LONDON: Legenda Formula Satu, Michael Schumacher yang mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan ski 12 tahun lalu, dilaporkan tidak lagi terlantar di katil dan kini mampu duduk di atas kerusi roda.
Menurut laporan media Britain, Daily Mail, juara dunia tujuh kali itu kini boleh dibawa bersiar-siar di sekitar kediaman mewahnya di Majorca serta rumah keluarganya di Gland, Switzerland di tebing Tasik Geneva.
Schumacher, 57, yang sebelum ini dirahsiakan sepenuhnya keadaan kesihatannya, dikatakan masih menjalani proses pemulihan secara perlahan dan hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat serta beberapa rakan rapat.
Dia dijaga sepenuh masa oleh isterinya, Corinna Schumacher dengan bantuan pasukan jururawat dan ahli terapi yang melakukan pemantauan selama 24 jam sehari, melibatkan kos rawatan yang tinggi setiap minggu.
Sejak kemalangan tragis di Meribel, Perancis pada 2013, Schumacher tidak pernah muncul di khalayak umum, malah keluarganya menegaskan aspek privasi bekas pelumba Ferrari itu sebagai keutamaan utama.
Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa Schumacher mengalami sindrom terkunci (locked-in syndrome), iaitu keadaan pesakit sedar sepenuhnya tetapi tidak mampu bergerak atau berkomunikasi kecuali melalui kelipan mata. Namun, sumber terdekat menafikan dakwaan tersebut.
“Dia dipercayai memahami sebahagian perkara yang berlaku di sekelilingnya, namun tidak sepenuhnya,” kata seorang sumber yang dipetik laporan berkenaan.
Keadaan sebenar Schumacher terus menjadi tanda tanya, dengan keluarganya kekal berpegang kepada prinsip untuk tidak mendedahkan perkembangan kesihatan beliau kepada umum. – AGENSI










