Tindakan Kulasegaran calar integriti institusi kehakiman - AMK - Utusan Malaysia

Tindakan Kulasegaran calar integriti institusi kehakiman – AMK

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alasan ‘sekadar singgah’ yang diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran di mahkamah hari ini bersama aktivis, Arun Dorasamy adalah tidak munasabah dan mencalar integriti institusi kehakiman.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, penjelasan itu bukan sahaja lemah, malah memperlihatkan sikap sambil lewa terhadap prinsip pemisahan kuasa dalam negara.

Katanya, jawapan sambil lewa Kulasegaran itu ketika negara berdepan isu berkaitan keharmonian sangat mengecewakan.

“Sebagai anggota pentadbiran yang menjaga hal ehwal undang-undang, beliau sepatutnya mempertahankan kebebasan sistem kehakiman, bukannya meletakkan diri dalam situasi yang menimbulkan persepsi campur tangan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Danish berkata, isu itu bukan perkara kecil kerana menyentuh tahap keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Katanya, alasan sekadar singgah juga dilihat menghina kebijaksanaan rakyat yang memahami setiap tindakan pemimpin kerajaan membawa implikasi besar.

Ujarnya, kegagalan Kulasegaran untuk mengakui kesilapan dan mengambil tanggungjawab sebagai keangkuhan politik yang tidak selari dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

“Kulasegaran perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat serta mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakannya.

“Dalam keadaan ini, mempertimbangkan kedudukan beliau dalam kerajaan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan bagi memulihkan keyakinan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN