MANCHESTER: Legenda Manchester United, Wayne Rooney percaya Michael Carrick memiliki keupayaan untuk mengembalikan semangat dan jati diri kelab itu, malah menyatakan kesediaannya menyertai barisan kejurulatihan sekiranya diperlukan bagi membantu misi tersebut.
Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, dilaporkan bersedia melantik Carrick, 44, sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim, ketika United bergelut mencari kestabilan prestasi dan identiti sebenar di Old Trafford.
Rooney yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman United dengan 253 gol menegaskan, peluang tersebut wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk memulihkan nilai dan budaya yang sekian lama menjadi tunjang kejayaan Red Devils.
Menurutnya, pelantikan Carrick boleh menjadi titik permulaan untuk membawa semula roh dan semangat sebenar United.
“United sudah kehilangan identitinya, termasuk suasana kekeluargaan yang suatu ketika dahulu begitu kuat di kelab ini. Ini adalah peluang terbaik untuk mengembalikan identiti itu dan membangkitkan semula semangat The Red Devils,” kata Rooney.
Rooney juga tidak berselindung mengenai kesediaannya bekerjasama dengan bekas rakan sepasukan itu sekiranya diberi peluang menyertai pasukan kejurulatihan.
“Sudah tentu saya bersedia. Ia keputusan yang mudah. Saya tidak pernah memohon jawatan ini, namun jika kelab memerlukan khidmat saya, saya tidak akan teragak-agak untuk membantu,” ujarnya.
United turut mengadakan perbincangan dengan bekas pengendali, Ole Gunnar Solskjaer pada Sabtu lalu, namun Carrick dilihat kekal sebagai calon utama untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Legenda Leeds United, Jonathan Woodgate, 45, juga dilaporkan berada dalam pertimbangan untuk dilantik sebagai penolong Carrick, selepas pernah bekerjasama dengannya ketika di Middlesbrough.
Carrick sebelum ini pernah mengendalikan tiga perlawanan sebagai pengurus sementara United susulan pemecatan Solskjaer pada 2021 sebelum menyertai Middlesbrough, dan dijangka memulakan sesi latihan pertamanya esok.
Ujian getir menanti Carrick apabila United dijadual membuka kempen di bawah kendaliannya dengan perlawanan menentang seteru utama, Manchester City dan Arsenal.– AGENSI










