DETROIT: Red Bull memenuhi permintaan Max Verstappen apabila memperkenalkan rekaan ‘livery’ baharu bagi musim Formula Satu (F1) 2026, sekali gus menggembirakan juara dunia empat kali itu.
Pasukan berpangkalan di Milton Keynes itu mendedahkan livery biru berinspirasikan gaya klasik pada majlis pelancaran di Detroit, bersempena kerjasama enjin bersama Ford dan persiapan menggunakan unit kuasa buatan sendiri buat kali pertama dalam F1.
Perubahan warna tersebut menamatkan era rekaan hampir seragam selama beberapa musim dan keputusan itu disambut baik Verstappen yang sebelum ini secara terbuka mahukan pembaharuan pada jentera Red Bull.
“Saya rasa ia jauh lebih baik dan memang ini yang saya minta sejak sekian lama, jadi saya sangat gembira.
“Saya suka kilauannya, saya suka warna biru kerana itu warna kegemaran saya, dan garis logo Red Bull itu kelihatan lebih segar,” kata Verstappen.
Verstappen memasuki musim 2026 dengan misi merampas semula kejuaraan dunia selepas tewas tipis kepada Lando Norris dari McLaren musim lalu.
Namun, pelumba Belanda itu mengakui cabaran lebih besar menantinya apabila F1 memasuki era peraturan baharu selain Red Bull dijangka berdepan kesukaran awal dengan enjin dalaman pertama mereka.
“Segalanya masih belum pasti dengan perubahan besar pada enjin dan kereta, tetapi motivasi pasukan sangat tinggi dan saya teruja untuk memulakan bab baharu ini,” katanya. – AGENSI










