LONDON: Manchester United terus berdepan kemerosotan apabila jatuh ke tangga kelapan dalam senarai kelab bola sepak terkaya dunia, walaupun mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 40 juta pound (RM189 juta), menurut laporan terbaharu Deloitte.
Di bawah kepimpinan Sir Jim Ratcliffe dan Ineos, United merekodkan kedudukan terendah mereka dalam carta pendapatan, malah dipintas Liverpool yang kini muncul sebagai kelab Inggeris dengan pendapatan tertinggi.
Jumlah keseluruhan hasil United daripada kutipan tiket, siaran langsung dan perjanjian komersial meningkat daripada 653 juta pound (RM3.088 bilion) pada musim 2023-24 kepada 692 juta pound (RM3.271 bilion) musim lalu.
Situasi itu menyaksikan United, yang pernah mendominasi carta ‘Deloitte Money League’ sebanyak 10 kali, jatuh empat anak tangga berbanding tahun lalu, sekali gus kali pertama dalam tempoh 29 tahun berada di luar kelompok lima teratas.
Pakar Deloitte, Tim Bridge, mengakui kelebihan kewangan United semakin terhakis berbanding pesaing terdekatnya berikutan kemerosotan prestasi serta gagal beraksi di saingan Eropah.
“Sepuluh hingga 15 tahun lalu, pendapatan perlawanan United menjadi peneraju industri, manakala kekuatan komersial mereka dijadikan penanda aras kelab lain.
“Namun, kelebihan itu semakin pudar. Walaupun United kekal sebagai antara jenama bola sepak global terbesar, mereka memerlukan kemudahan moden serta strategi baharu bagi mengukuhkan hubungan dengan peminat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Liverpool mencatat lonjakan ketara apabila pendapatan meningkat 106 juta pound (RM501 juta) kepada 729 juta pound (RM3.44 bilion), sekali gus menduduki tangga kelima keseluruhan dan tertinggi dalam kalangan kelab Inggeris.
Sementara itu, lima kelab teratas dunia terus dikuasai gergasi Eropah dengan Real Madrid mencipta sejarah sebagai kelab pertama menembusi pendapatan melebihi 1 bilion pound (RM4.7 bilion), diikuti Barcelona, Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG).
Tottenham Hotspur kekal di tangga kesembilan dengan pendapatan 587 juta pound (RM2.7 bilion), manakala Chelsea meningkat ke kedudukan ke-10 dengan 510 juta pound (RM2.4 bilion).
Bridge menegaskan prestasi di atas padang kekal sebagai kunci utama pendapatan kelab, khususnya menerusi penyertaan berterusan dalam kejohanan Eropah dan antarabangsa, namun keseimbangan antara keuntungan, kualiti permainan serta kebajikan pemain juga perlu diberi keutamaan. – AGENSI










