PETALING JAYA: “Pengasuh perlu sentiasa menjalani latihan berterusan, bengkel ulangkaji dan peningkatan pengetahuan, bukan sekadar memiliki sijil akademik semata-mata.”
Itu gesaan Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Negeri Sembilan susulan insiden pusat penjagaan didakwa mengurung kanak-kanak autistik di Shah Alam dan Prima Puchong dekat sini.
Pengerusinya, Sin Kia Wai berkata, kaedah mengurung kanak-kanak autistik yang didakwa sebagai sebahagian daripada ‘rawatan’ merupakan satu bentuk penderaan mental yang tidak berperikemanusiaan.
Katanya, perkara yang lebih membimbangkan adalah terdapat pusat asuhan yang menganggap kursus tersebut sekadar alat promosi bagi menarik lebih ramai murid.
“Kanak-kanak bukan penjenayah dan sebarang kesilapan tingkah laku tidak wajar dihukum oleh orang dewasa dengan cara yang menjejaskan emosi dan maruah mereka.
“Oleh itu, syarat wajib perlu diperketatkan, setaraf dengan akademi profesional dan latihan kemahiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, ketiga-tiga pusat penjagaan kanak-kanak di Shah Alam dan Prima Puchong yang tular ekoran didakwa mengurung kanak-kanak autistik dilaporkan tidak berdaftar sebagai operator taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan memaklumkan, selain itu, premis di pusat penjagaan tersebut juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sewajarnya dipatuhi.
Kia Wai berkata, kegagalan mewajibkan saringan kesihatan mental pengasuh disifatkan satu kelompongan serius yang boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak di pusat jagaan dan isu itu perlu diberi perhatian segera oleh semua pihak berwajib.
Menurutnya, tahap pengetahuan sebahagian besar guru dan pengasuh mengenai kesihatan mental masih berada pada tahap rendah.
“Keadaan itu diburukkan lagi dengan sokongan daripada pihak perubatan yang amat terhad dalam membantu pengasuh menangani tekanan emosi ketika bertugas.
“Manakala, kebanyakan kursus hanya berlangsung dua hingga tiga hari, malah ada pusat menjadikannya sekadar alat promosi untuk mencari keuntungan, bukan demi kebajikan kanak-kanak.
“Tempoh latihan yang terlalu pendek tidak mencukupi untuk membentuk kefahaman mendalam berkaitan pengurusan emosi dan tingkah laku kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN










