PETALING JAYA: Pengurusan pasukan kebangsaan tidak wajar diganggu atau didesak melepaskan jawatan masing-masing seperti Ahli Jawatankuasa (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, anggota pengurusan skuad kebangsaan seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rob Friend dan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan,Dr Craig Duncan bertanggungjawab dalam aspek latihan dan kesihatan pemain seharusnya tidak terlibat dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan.
“Tenaga profesional ini hanya menjalankan tugas mereka mengikut bidang masing-masing. Urusan pengurusan seperti pendaftaran dan dokumentasi adalah tanggungjawab FAM.
“Kesilapan dalam pengeluaran pasport antarabangsa yang menyebabkan penggantungan tujuh pemain adalah kesilapan pihak pengurusan, bukan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa isu utama yang perlu diberi perhatian ialah kelemahan dalam pengurusan dokumentasi dan pemilihan pemain oleh pihak FAM, bukan kepada kakitangan teknikal dan profesional yang menjalankan tugas teknikal mereka dengan baik.
Mengenai desakan supaya pengurusan pengurusan skuad kebangsaan turut meletakkan jawatan, Dr Zulakbal berkata, tindakan tersebut tidak perlu diikuti kerana kontrak dan peranan mereka berbeza dengan ahli Exco FAM.
“Jika Exco mahu letak jawatan, itu hak mereka. Namun pengurusan profesional perlu diteruskan sehingga habis kontrak masing-masing supaya kesinambungan pasukan terjaga,” katanya.
Zulakbal juga menggesa agar FAM menjalani proses ‘reset’ atau pembaharuan total dalam kepimpinan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan cabaran bola sepak moden.
“Dunia sudah berubah. Cara kita mengurus bola sepak harus diperkemas dan dimodenkan. Jika ada peletakan jawatan secara besar-besaran, itu adalah lumrah, namun bola sepak harus terus berjalan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli gabungan FAM supaya membuat penilaian terhadap calon Exco yang ingin bertanding semula, dengan mengambil kira sumbangan mereka kepada pembangunan bola sepak negara.
“Kalau ada yang berminat bertanding semula, terpulang kepada ahli gabungan. Tetapi tanya dahulu, apa sumbangan awak selama ini? Tepuk dada tanya selera,” katanya.-UTUSAN










